Monday , 23 December 2024
Home Ekonomi Capex korporat Malaysia naik 15.3%, tingkat keyakinan pelabur
Ekonomi

Capex korporat Malaysia naik 15.3%, tingkat keyakinan pelabur

Capex korporat Malaysia naik 15.3%, tingkat keyakinan pelabur

EKONOMI Malaysia yang semakin berkembang secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pelabur terhadap potensi negara. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan pertumbuhan 15.3 peratus dalam perbelanjaan modal (Capex) korporat untuk 2024, menunjukkan peningkatan keyakinan daripada pelabur domestik dan antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif MARC Ratings Berhad.

Rajan Paramesran berkata, peningkatan itu mencerminkan dasar ekonomi negara yang kukuh dan inisiatif yang berterusan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dalam pelbagai sektor.

“Malaysia kekal komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan perniagaan.

“Peningkatan ini mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap potensi ekonomi jangka panjang kami,” katanya semasa webinar MARC360 Overview semalam.

Beliau berkata, kenyataan itu selaras dengan strategi lebih luas Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Jelasnya, pertumbuhan pelaburan itu disokong oleh kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.

“Kerjasama ini mendorong kemajuan yang signifikan dalam bidang seperti teknologi hijau, pembuatan dan transformasi digital.

“Kami melihat trend peningkatan pelaburan yang tertumpu kepada kelestarian dan inovasi, yang seiring dengan visi kami untuk masa depan ekonomi Malaysia,” ujarnya.

Rajan turut menyatakan bahawa kerajaan memberi keutamaan kepada sokongan untuk Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS), yang merupakan tonggak penting ekonomi Malaysia.

“PKS adalah unsur penting dalam kisah pertumbuhan kami, dan memastikan kejayaan mereka kekal sebagai keutamaan utama. Pertumbuhan dalam perbelanjaan modal ini juga mencerminkan usaha untuk memberikan mereka peluang yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) juga memainkan peranan penting dalam lonjakan ini, dengan kemampuan Malaysia untuk menarik syarikat multinasional besar mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran global.

“Walaupun terdapat ketidaktentuan global, pendekatan strategik Malaysia terhadap pengurusan ekonomi nampaknya membuahkan hasil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi MARC, Dr. Ray Choy berkata, Malaysia sedang memulakan langkah penting ke arah ketahanan ekonomi apabila kerajaan mengurangkan subsidi untuk mengurangkan tekanan fiskal sambil memastikan kestabilan pasaran.

Jelasnya, langkah terancang itu menjadi fokus dalam perbincangan dasar, mencerminkan keperluan pendekatan yang seimbang.

“Rasionalisasi subsidi bukan sahaja bertujuan mengurangkan beban fiskal tetapi juga memastikan kelestarian ekonomi jangka panjang.

“Sentimen ini menonjolkan keseimbangan yang perlu dicapai antara tanggungjawab fiskal dan melindungi kumpulan berpendapatan rendah daripada kesan buruk,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan itu disokong oleh keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus yang bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi sambil mengawal inflasi.

“Selain itu, ringgit yang menghadapi ketidaktentuan ketara awal tahun ini menunjukkan tanda-tanda kestabilan berikutan pelaksanaan reformasi tersebut.

“Keyakinan pelabur secara beransur-ansur kembali apabila Malaysia menempatkan dirinya sebagai ekonomi yang stabil di rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 21 Disember- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami...

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham
Ekonomi

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham

PETALING JAYA: Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA), konsortium yang bercadang menswastakan...

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka setanding tahun lalu

PETALING JAYA: Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM susut hari kelima berturut-turut, eksport lemah

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 Disember– Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...