Thursday , 26 December 2024
Home Ekonomi Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit susulan pengambilan untung
Ekonomi

Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit susulan pengambilan untung

Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit susulan pengambilan untung

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 8 November- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada hari dagangan terakhir minggu ini susulan aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah sentimen berhati-hati selepas kemenangan calon Republican Donald Trump dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.04 mata, atau 0.13 peratus, untuk ditutup kepada 1,621.24 daripada paras penutup 1,623.28 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 4.34 mata kepada 1,627.62 dan turun naik antara paras 1,621.24 dan 1,627.62 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran juga negatif, dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 653 berbanding 338, manakala 490 kaunter tidak berubah, 925 tidak diniagakan dan 17 digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.69 bilion unit bernilai RM1.86 bilion daripada 3.77 bilion unit bernilai RM3.41 bilion pada Khamis.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata bursa tempatan mengambil pendekatan berhati-hati berikutan kemungkinan peralihan dasar di bawah pentadbiran Trump 2.0.

“Ini termasuk barisan kepimpinan penting yang boleh mengemudi dasar ekonomi dan panduan mengenai tarif di bawah pentadbiran Trump.

“Walaupun kenaikan di Wall Street dan penurunan kadar faedah AS boleh menjana minat limpahan dalam pasaran tempatan, impaknya mungkin terjejas oleh landskap makroekonomi global dan risiko sedia ada berkait dengan potensi agenda dasar AS yang tidak menentu,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata walaupun keyakinan dalam pasaran AS dirangsang oleh prospek penurunan cukai korporat, sentimen di pasaran tempatan masih berhati-hati.

\”Di FBM KLCI, sektor berkait dengan perladangan dan industri berkaitan pusat data, seperti telekomunikasi, utiliti, dan logam telah menunjukkan daya tahan dalam persekitaran yang berhati-hati,\” katanya.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI didagangkan dalam jajaran terhad hari ini, mencerminkan kekurangan minat belian di tengah-tengah prestasi serantau yang bercampur-campur.

“Di pasaran tempatan, kita kekal optimistik terhadap ekuiti Malaysia. Ekonomi diunjur terus menggalakkan, didorong oleh permintaan pengguna yang mampan, pemulihan sektor utama dan inisiatif berterusan kerajaan untuk meningkatkan daya tahan ekonomi,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group dan Tenaga Nasional naik 4.0 sen setiap satu masing-masing kepada RM8.22 dan RM14.40, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.49, IHH Healthcare susut 4.0 sen kepada RM7.21 dan Maybank berkurangan 8.0 sen kepada RM10.50.

Dalam kalangan kaunter aktif, Microlink Solutions menambah 1.0 sen kepada 15 sen, 3Ren turun 1.0 sen kepada 45 sen, DXN Holdings susut 2.5 sen kepada 49 sen, Genetec Technology berkurangan 6.5 sen kepada 86 sen manakala Talam Transform tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 33.67 mata kepada 12,265.86, Indeks FBMT 100 merosot 32.50 mata kepada 11,966.46 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 22.50 mata kepada 12,231.80.

Indeks FBM 70 susut 112.91 mata kepada 17,865.39 dan Indeks FBM ACE turun 19.93 mata kepada 5,144.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 49.97 mata kepada 19,257.02, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.68 mata kepada 172.61, Indeks Tenaga menokok 6.10 mata kepada 834.08 dan Indeks Perladangan menambah 51.65 mata kepada 7,631.58.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.23 bilion unit bernilai RM1.54 bilion daripada 1.87 bilion unit bernilai RM2.99 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.04 bilion unit bernilai RM147.77 juta daripada 1.29 bilion unit bernilai RM187.07 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 414.81 juta unit bernilai RM166.43 juta berbanding 601.38 juta unit bernilai RM232.39 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 221.38 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (242.8 juta), pembinaan (71.63 juta), teknologi (206.26 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (41.27 juta), hartanah (170.35 juta), perladangan (64.17 juta), REIT (13.28 juta), dana tertutup (9,700), tenaga (76.31 juta), penjagaan kesihatan (46.63 juta), telekomunikasi dan media (18.55 juta), pengangkutan dan logistik (21.77 juta).), utiliti (37.68 juta), dan amanah perniagaan (36,500). -Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Dividen ASB 2024, bukti ekonomi mengukuh – Penganalisis

Foto Kecil: Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad...

Ekonomi

Kerjasama blok ASEAN perkukuh cabaran geopolitik, ekonomi global

Datuk Ramesh KodammalKUALA LUMPUR, 25 Disember- Blok ASEAN perlu bersatu dan memperkukuh...

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan
Ekonomi

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah...

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun
Ekonomi

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan yang tertinggi...