Tuesday , 31 December 2024
Home Ekonomi BNM umum empat langkah interim tangani isu kenaikan premium insurans kesihatan
Ekonomi

BNM umum empat langkah interim tangani isu kenaikan premium insurans kesihatan

BNM umum empat langkah interim tangani isu kenaikan premium insurans kesihatan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan langkah-langkah interim bagi menangani isu kenaikan mendadak premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).

Menurut bank pusat, bagi membantu menghadapi kesan pelarasan premium MHIT, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) akan melaksanakan perubahan premium yang diagihkan (spread out) disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun, kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan oleh penetapan semula premium.

“Langkah ini akan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2026. Menerusi langkah ini, sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10 peratus.

“Selain itu, bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli, ITO akan menangguhkan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk sementara waktu, iaitu selama satu tahun dari ulang tahun polisi mereka,” katanya.

BNM berkata, dua langkah di atas tidak terpakai pada kenaikan premium yang boleh dikenakan apabila pemegang polisi beralih ke kategori umur yang lebih tinggi, yang mana hal berkenaan akan diuruskan secara berasingan oleh ITO.

Langkah ketiga ialah pemegang polisi yang telah menyerahkan polisi, atau polisi MHIT mereka telah luput pada tahun 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium boleh menghubungi ITO masing-masing untuk memohon polisi mereka diaktifkan semula, berdasarkan premium yang dilaraskan menerusi langkah pertama tanpa keperluan pengunderaitan.

Keempat, semua ITO akan menyediakan produk MHIT alternatif yang bersesuaian pada premium yang sama, atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan MHIT mereka yang sedia ada dan yang premiumnya telah ditetapkan semula.

“ITO yang tidak menyediakan produk alternatif yang sesuai pada masa ini hendaklah menawarkan produk tersebut kepada pemegang polisi selewat-lewatnya pada hujung tahun 2025.

“Pertukaran kepada produk MHIT alternatif tidak akan memerlukan sebarang pengunderaitan tambahan atau melibatkan apa-apa kos pertukaran. Langkah ini, bersama-sama dengan pembaharuan lain bagi membendung inflasi kos perubatan, akan mengelakkan pelarasan premium yang tinggi pada masa hadapan,” katanya.

BNM menambah, kerajaan bersama-sama dengan ITO dan hospital swasta akan memberikan sumbangan sebanyak RM60 juta untuk mempercepat pembaharuan kesihatan.

“Hal ini termasuk pelaksanaan model pembayaran Diagnosis-Related Group dan penyiaran kos prosedur perubatan lazim bagi meningkatkan ketelusan.

“Selain itu, sebahagian daripada dana ini juga akan digunakan untuk menyokong pembangunan produk asas MHIT yang meliputi keperluan penjagaan kesihatan penting dan memudahkan pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas membuat pertukaran kepada produk asas baharu apabila ditawarkan,” jelasnya.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, langkah-langkah interim diumumkan hari ini akan memberikan sokongan sementara kepada pemegang polisi.

“Namun, pembaharuan kesihatan yang lebih meluas perlu dipercepat berserta komitmen untuk mencapai hasil yang jelas bagi tahun-tahun akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Related Articles

Bungkus Kaw Kaw sasar halal semua cawangan 
Ekonomi

Bungkus Kaw Kaw sasar halal semua cawangan 

BUNGKUS Kaw Kaw telah memperoleh pensijilan halal di 20 cawangannya ketika ini.PETALING...

Ekonomi

Thailand, Malaysia sasar perdagangan US$30 bilion menjelang 2027

Gambar hiasanKUALA LUMPUR, 28 Disember – Malaysia dan Thailand mengukuhkan hubungan bilateral...

Ekonomi

Khazanah umum pelaburan RM1 bilion, sokong teknologi IR4.0 dan PKS

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 28 Disember – Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), melalui...

Ekonomi

Ringgit dijangka lemah semasa dagangan lengang minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 28 Disember- Ringgit dijangka menunjukkan penurunan minggu depan ketika...