Home Ekonomi Belanjawan 2025 seimbang kemajuan Malaysia, menjaga kesejahteraan rakyat
Ekonomi

Belanjawan 2025 seimbang kemajuan Malaysia, menjaga kesejahteraan rakyat

Belanjawan 2025 seimbang kemajuan Malaysia, menjaga kesejahteraan rakyat

PETALING JAYA: Belanjawan 2025 menyeimbangkan kemajuan Malaysia dan menjaga kesejahteraan rakyat, disokong oleh komitmen terhadap reformasi fiskal dan pertumbuhan yang inklusif, menurut Khazanah Research Institute (KRI).

Menurut KRI, reformasi fiskal menyokong aliran pendapatan kerajaan yang lebih efisien fokus pada rasionalisasi subsidi dan memperluas asas cukai mencerminkan langkah fiskal yang berhemah, sekaligus meningkatkan lagi daya tahan negara menghadapi ketidaktentuan global.

“KRI menyambut baik hasrat kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi RON95 dan menyalurkan penjimatan tersebut untuk memperkukuh sektor-sektor penting termasuk kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan sosial.

“Pengenalan cukai karbon ke atas tenaga pada 2026 dilihat lebih berkesan berbanding pasaran karbon.

“Namun, kesan pengenalan cukai ini terhadap kos sara hidup dan daya saing industri adalah bergantung kepada kadar cukai yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut KRI, Belanjawan 2025 juga memanfaatkan pelaburan domestik melalui GEAR-uP yang diterajui oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk menyokong aspirasi perindustrian Malaysia.

“Fokus berterusan terhadap inisiatif latihan, terutamanya penekanan terhadap Dasar Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) dilihat telah berkembang meliputi pelbagai sektor penting seperti semikonduktor, robotik dan Kecerdasan Buatan (AI).

“Selain itu, tumpuan kepada golongan miskin bandar, komuniti luar bandar, dan belia peribumi akan mempersiapkan golongan rentan ini untuk berjaya dalam ekonomi yang giat berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, KRI juga menyambut baik peningkatan had gaji minimum dan penerbitan garis panduan gaji untuk semua sektor.

“Inisiatif ini, bersekali dengan pelaburan besar dalam ekosistem perniagaan, merupakan langkah penting ke arah meningkatkan taraf hidup individu serta daya saing perniagaan, sekaligus memastikan kemajuan yang mampan dan saksama untuk Malaysia.

“Usaha kerajaan dalam meneraju penggunaan dan menambah baik tadbir urus AI turut disambut baik, termasuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan yang baharu dan Rangkaian Keselamatan AI Asean.

“Penekanan Belanjawan 2025 terhadap keselamatan dalam talian dan keselamatan siber perlu didukung melalui pengukuhan tadbir urus data,” katanya.

Sementara itu, KRI berkata, peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM13 bilion, bersama dengan bantuan bersasar lain, adalah langkah yang baik untuk membantu rakyat menghadapi kesan rasionalisasi subsidi.

“Usaha berterusan untuk menambah baik perlindungan sosial kepada mereka yang bekerja sendiri, suri rumah, dan golongan warga emas melalui peningkatan sumbangan kerajaan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berupaya membantu memastikan kesejahteraan mereka,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Pertumbuhan pinjaman, deposit bank dijangka perlahan pada suku ketiga
Ekonomi

Pertumbuhan pinjaman, deposit bank dijangka perlahan pada suku ketiga

PETALING JAYA: Pertumbuhan pinjaman dan deposit bank-bank Malaysia dijangka perlahan apabila mereka...

Ekonomi

Niaga hadapan emas melemah berikutan pengambilan untung

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 1 November- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia...

Ekonomi

Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 1 November- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS...

Ekonomi

Niaga hadapan FBM KLCI diniagakan tinggi pada tengah hari

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 1 Nov- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI...