KUALA LUMPUR: Penyusunan semula yang bakal dilaksanakan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) pada pertengahan tahun ini akan melibatkan semua peringkat termasuk barisan pengurusan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pihaknya akan melakukan perkara ini dengan cara berstruktur dan mereka yang terjejas akan diuruskan secara terhormat dan saksama.
“Sesetengah orang mengatakan ini adalah langkah perlindungan di mana pengurusan kanan akan dilindungi, manakala orang lain yang tidak mempunyai hak untuk berkata-kata akan terjejas.
“Dalam rekod, jika kami memutuskan untuk menyusun semula melibatkan dari bawah ke atas, pihak pertama yang akan terjejas adalah daripada audit pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Laporan Kewangan Kumpulan Petronas 2024, di sini, semalam.
Bagi tahun kewangan 2024, keuntungan selepas cukai Petronas merosot kepada RM55.1 bilion, daripada RM80.7 bilion pada 2023 dan RM101.6 bilion pada 2022.
Muhammad Taufik berkata, terdapat perbezaan besar antara apa yang beliau panggil sebagai right sizing (penyesuaian saiz) dan pembuangan pekerja, yang mana usaha pelarasan saiz yang sedang dilaksanakan Petronas didorong oleh perniagaan.
“Ini bermakna kami mentakrifkan semula cara kami mahu beroperasi, apa portfolio aset yang kami ada dengan cara yang paling cekap, untuk proses dan organisasi.
“Anda lihat kepada tenaga kerja dan sama ada ia berlebihan dan bukan seperti mana yang anda mahu, anda betulkan saiznya jadi perniagaan mampu kekal untung.
“Apabila anda mendengar pemberhentian pekerja diulang berulang kali, ia adalah pada titik terdesak, di mana mereka tidak dapat menampung kos,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan memberhentikan kira-kira 15,000 hingga 16,000 pekerja seperti yang dilaporkan sesetengah pihak.
Media sebelum ini melaporkan, Petronas akan melaksanakan program penamatan pekerja berikutan tekanan pasaran global yang tidak lagi mampu ditanggung oleh syarikat minyak kebangsaan itu.
Petronas ketika ini menggaji 52,000 pekerja dan program right sizing jumlah pekerja diperlukan yang dijangka diselesaikan menjelang separuh tahun kedua tahun ini.
Muhammad Taufik turut memberi amaran jika tidak berubah, Petronas akan menjadi seperti sesetengah syarikat minyak negara yang gagal.
Katanya, jumlah kakitangan yang terbabit dalam penstrukturan akan ditetapkan selepas semua kajian dalaman dilakukan.
Beliau juga menegaskan sebarang urusan penstrukturan termasuk penamatan jawatan akan dilakukan dengan adil, telus dan berdasarkan kepakaran. – UTUSAN