Tuesday , 24 December 2024
Home Ekonomi Anggaran awal: KDNK dijangka berkembang 5.3% pada suku ketiga – DOSM
Ekonomi

Anggaran awal: KDNK dijangka berkembang 5.3% pada suku ketiga – DOSM

Anggaran awal: KDNK dijangka berkembang 5.3% pada suku ketiga – DOSM

DOSM menganggarkan ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, lanjutan daripada peningkatan kukuh 5.9 peratus pada suku sebelumnya.-GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, lanjutan daripada peningkatan kukuh 5.9 peratus pada suku sebelumnya, menurut anggaran awal yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi tempoh Januari sehingga September 2024, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bertumbuh 5.1 peratus berbanding 3.8 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh yang stabil, tekanan inflasi yang sederhana, dasar fiskal dan monetari yang menggalakkan serta pemulihan berterusan dalam aktiviti pelancongan dijangka meneruskan momentum pengembangan dalam ekonomi domestik. 

Katanya, tren positif dalam perbelanjaan pengguna dan peningkatan pelaburan juga dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini. 

“Berdasarkan indikator terkini yang diterbitkan oleh DOSM, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 6.7 peratus pada Julai dan menyederhana kepada 4.7 peratus pada Ogos 2024.

“Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian masing-masing berkembang 5.3 peratus dan 4.1 peratus pada Julai dan Ogos 2024. Bagi sektor luaran, perdagangan Malaysia menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan 7.8 peratus bagi eksport dan 20.8 peratus bagi import pada suku tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, prestasi ekonomi pada suku ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 5.1 peratus (suku kedua 2024: 5.9 peratus), diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan. 

Selain itu, beliau berkata, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan yang lebih baik kepada 5.7 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku sebelumnya, disokong terutamanya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

“Sektor pembinaan terus melonjak dengan pertumbuhan 19.5 peratus, meningkat daripada 17.3 peratus berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen, terutamanya aktiviti pembinaan pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman. 

“Sektor pertanian meningkat dengan lebih perlahan pada suku ini pada 4.0 peratus berbanding 7.2 peratus pada suku kedua 2024, disumbangkan oleh pertumbuhan sederhana dalam subsektor kelapa sawit. 

“Walau bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut 3.4 peratus berbanding pertumbuhan 2.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor gas asli serta minyak mentah dan kondensat,” ujarnya.

Lanjutan daripada anggaran awalan ini, KDNK preliminari yang menyediakan set data analisis terperinci dan komprehensif bagi suku tahun ketiga 2024 akan dikeluarkan pada 15 November 2024.-UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 23 Disember – Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding...

Jualan kek bento ala Korea meningkat 20 peratus selepas peroleh sijil halal
Ekonomi

Jualan kek bento ala Korea meningkat 20 peratus selepas peroleh sijil halal

NOR Hasheera Hanafi belajar membuat kek daripada ibu mertuanya.PETALING JAYA: Pengusaha bakeri,...

Ekonomi

Langkah interim BNM bantu imbangi kos penjagaan kesihatan

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 22 Disember – Langkah interim yang diperkenalkan Bank Negara...

Ekonomi

Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 21 Disember- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami...