Home Ekonomi Ahli perniagaan pukul pengawal peribadi kerana puasa dipenjara, denda
Ekonomi

Ahli perniagaan pukul pengawal peribadi kerana puasa dipenjara, denda

FOTO HIASAN

KLANG, 28 Mac- Seorang ahli perniagaan yang mencederakan dua pengawal peribadi kerana berpuasa pada 2021, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga kesalahan iaitu ugutan, mencederakan mangsa serta mengeluarkan perkataan dengan niat sengaja melukakan perasaan mereka.

Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan Chung Chee Yang, 47, dipenjara 21 bulan sekiranya gagal melunaskan denda.

Siti Zubaidah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Chung gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap kesemua pertuduhan pindaan.

“Bagi kes mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000, manakala kes kedua iaitu mengeluarkan perkataan-perkataan melukakan agama Islam bawah Seksyen 298 kanun sama, dipenjara setahun serta denda RM10,000.

“Bagi kes sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengawal peribadi mengikut Seksyen 323 kanun sama, penjara 10 bulan dan denda RM2,000,” katanya.

Semua hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula hari ini, selepas rayuan penangguhan pelaksanaan hukuman tertuduh ditolak.

Mengikut pertuduhan pertama, Chung didakwa mengugut seorang pegawal peribadinya Mohd Azminizam Zulkepli, 48, dengan mengacukan pistol ke arah Mohd Azminizam Zulkepli, 48, dan didakwa bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan, dengan mengaitkan perkataan Allah dan ibadah puasa, yang didengar oleh Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31 dan didakwa bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Chung didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam dan lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang, antara 9.30 hingga 10.30 malam, 13 April 2021.

Sementara itu, peguam Chung Abdul Hakeem Aiman dalam hujahan mitigasinya memohon mahkamah mempertimbang sumbangan amal lelaki itu kepada masyarakat, terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan serta kerjasamanya sepanjang siasatan dan prosiding perbicaraan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi berhujah bahawa kes tersebut mendapat perhatian luas kerana membabitkan sensitiviti agama.

Beliau juga menekankan bahawa Chung sebelum ini pernah disabitkan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (pada 2024) kerana kesalahan serupa, termasuk mengacukan pistol kepada pengawal peribadi yang berpuasa dan enggan mengikut arahannya.

“Kes ini berlaku pada hari pertama berpuasa iaitu pada 13 April 2021 dan diselesaikan pada hari-hari terakhir Ramadan iaitu 28 Mac 2025, selepas hampir empat tahun,” katanya.

Nuruljannah berkata mahkamah perlu memberi hukuman setimpal supaya tiada individu yang menghina agama Islam berasa kebal daripada tindakan undang-undang.

Media pada April 2021 melaporkan dua pengawal peribadi mengalami kecederaan selepas dirotan dan diugut bunuh menggunakan pistol oleh majikan mereka, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan ibadah puasa.- Livevartha

Related Articles

Pasaran getah dijangka rendah minggu depan
Ekonomi

Pasaran getah dijangka rendah minggu depan

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 29 Mac – Pasaran getah dijangka rendah minggu depan...

WF Holding, pengeluar plastik tempatan disenarikan di Nasdaq 
Ekonomi

WF Holding, pengeluar plastik tempatan disenarikan di Nasdaq 

CHEE HOONG LEWPETALING JAYA: WF Holding Limited (WF Holding), pengeluar produk plastik...

MN Holdings peroleh kontrak penting RM137.80j daripada TNB
Ekonomi

MN Holdings peroleh kontrak penting RM137.80j daripada TNB

PETALING JAYA: MN Holdings Berhad (MN Holdings), menerima kontrak RM137.80 juta daripada...

Pro-Net tawar diskaun 30% pengecasan EV sempena Syawal
Ekonomi

Pro-Net tawar diskaun 30% pengecasan EV sempena Syawal

PEMILIK Proton e-Mas dan smart boleh mendapatkan diskaun istimewa ini dari 29...