PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank) mengumumkan pelancaran Pembiayaan Peribadi-i (PF-i), satu fasiliti pembiayaan patuh syariah, tanpa cagaran dan 100 peratus digital.
PF-i terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 hingga 55 tahun dengan pendapatan kasar bulanan RM3,000 ke atas, termasuk pekerja ekonomi gig, keluarga pelbagai generasi yang memikul banyak komitmen kewangan, serta pekerja berasaskan komisen serta rakyat Malaysia yang memerlukan penyelesaian kewangan yang fleksibel.
Pemohon yang layak boleh memperoleh pembiayaan peribadi-i antara RM1,000 hingga RM10,000 dengan tempoh pembayaran balik yang fleksibel antara 3, 6, 9, 12, 18 atau 24 bulan.
Pembiayaan patuh syariah tanpa cagaran tersebut menawarkan Kadar Keuntungan Rata sebanyak 6.88 peratus setahun, dengan Kadar Keuntungan Efektif antara 10.29 peratus hingga 12.70 peratus setahun.
Dengan struktur pembiayaan sedemikian serta bayaran Wakalah serendah RM1.00 yang dikenakan setelah pembiayaan diterima, ia merupakan pilihan pembiayaan peribadi yang menjimat kos dan mudah diakses.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad, Datin Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, sejak pelancaran AEON Bank pada Mei 2024, visi syarikat jelas untuk memupuk keterangkuman kewangan dan menawarkan perkhidmatan kepada lebih ramai rakyat Malaysia menerusi perbankan digital yang mudah diakses serta penyelesaian berasaskan teknologi menerusi aplikasi mudah alih syarikat.
“Kini, pelancaran Pembiayaan Peribadi-i melambangkan satu lagi pencapaian dalam perjalanan
kami. Kami bukan sekadar memperkenalkan suatu produk, tetapi berhasrat untuk membangunkan ekosistem kewangan inklusif yang mengutamakan perbankan digital patuh syariah yang mampan serta pemerkasaan kewangan jangka panjang.
“Dengan pelancaran PF-i, kami ingin membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mencapai misi kesejahteraan kewangan sama ada dalam menguruskan keperluan kewangan untuk keluarga atau individu, merebut peluang baharu, mahupun demi merancang masa depan yang lebih kukuh dalam lanskap ekonomi digital yang semakin dinamik,” katanya dalam kenyataan.
Bersempena pelancaran Pembiayaan Peribadi-i, bermula 5 hingga 31 Mac 2025, 500 pelanggan pertama yang layak akan menerima mata ganjaran AEON berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan, selepas dana PF-i berjaya dikreditkan, RM1,001 hingga RM3,000 menerima mata ganjaran AEON bernilai RM10, RM3,001 hingga RM5,000 menerima mata ganjaran AEON bernilai RM15, RM5,001 hingga RM7,000 menerima mata Ganjaran AEON bernilai RM30 serta RM7,001 hingga RM10,000 (mata Ganjaran AEON bernilai RM50). – UTUSAN