Home Ekonomi 94.7% perniagaan dalam talian mahu pengecualian e-invois
Ekonomi

94.7% perniagaan dalam talian mahu pengecualian e-invois

94.7% perniagaan dalam talian mahu pengecualian e-invois

PETALING JAYA: Sebanyak 94.7 peratus pemilik perniagaan dalam talian yang maklum tentang e-invois mahu pengecualian daripada kewajipan e-invois kerajaan kerana terlalu rumit (87.3 peratus) atau mengelirukan (12.7 peratus).

Tinjauan Datametrics Research and Information Centre (DARE) turut mendapati hanya 40.1 peratus daripada responden sedar tentang kewujudan e-invois.

Penemuan ini menunjukkan jurang ketara dari segi pemahaman dan kesiapsiagaan, sedangkan kerajaan merancang untuk mewajibkan penggunaan e-invois kepada semua perniagaan, termasuk penjual dalam talian berpendapatan rendah bermula 1 Januari 2026.

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, usaha kerajaan untuk memperkenalkan e-invois adalah sebahagian daripada agenda pendigitalan ekonomi, namun pelaksanaannya secara menyeluruh tanpa pengecualian boleh membebankan perniagaan kecil.

Katanya, tinjauan ini dijalankan sebagai semakan sentimen selama dua minggu untuk memahami pandangan usahawan mikro dalam talian, terutamanya selepas peningkatan liputan media dan perhatian awam terhadap isu e-invois.

“Sentimennya jelas, ramai yang keliru, bimbang dan rasa tidak bersedia. Penemuan ini menunjukkan perlunya kerajaan menilai semula pendekatan sedia ada dan menjalankan kajian mendalam tentang kesan dasar ini terhadap ekonomi mikro digital.

“Pada masa sama, inisiatif pendidikan dan sokongan yang bersasar harus diperkenalkan bagi membantu penjual kecil dalam talian memahami keperluan serta kaedah pematuhan.

“Tanpa pendekatan ini, kita berisiko menyukarkan pematuhan dalam kalangan kumpulan yang sepatutnya kita beri perhatian,” katanya dalam kenyataan.

Tinjauan yang melibatkan 516 usahawan mikro dalam talian yang berpendapatan kurang daripada RM150,000 setahun itu dijalankan dalam tempoh dua minggu menerusi saluran dalam talian dan fizikal.

Tambahnya, tinjauan turut mendapati tahap kesedaran dan kefahaman terhadap keperluan e-invois adalah rendah.

“Lebih separuh daripada responden (59.9 peratus) tidak pernah mendengar tentang e-invois, manakala 78.1 peratus menyuarakan kebimbangan terhadap impak pelaksanaan e-invois ke atas operasi harian mereka.

“Dari segi tindakan yang mungkin diambil apabila pelaksanaan diwajibkan, hanya 22.7 peratus responden menyatakan akan cuba patuh. Sebaliknya, 31.6 peratus menyatakan hasrat untuk berhenti berniaga dalam talian,” ujarnya.

Selain itu, seramai 21.1 peratus memilih pendekatan ‘tunggu dan lihat’, manakala 24.6 peratus menyatakan mereka tidak akan patuh langsung, menunjukkan potensi besar untuk ketidakpatuhan dan gangguan terhadap ekonomi mikro digital.

Pankaj berkata, keputusan ini menunjukkan keperluan untuk penggubal dasar menilai semula pendekatan semasa, terutamanya bagi penjual mikro dalam talian yang beroperasi di pinggiran ekonomi digital.

“Mereka ini bukan syarikat besar dengan pasukan akauntan atau infrastruktur digital. Ramai dalam kalangan penjual ini adalah individu yang mencari pendapatan tambahan melalui saluran digital tidak formal.

“Bagi mereka, pelaksanaan sistem e-invois yang asing dan teknikal bukan sekadar pelarasan prosedur, tetapi gangguan besar terhadap operasi harian,” ujarnya.

Menurutnya, jika kumpulan ini dipaksa untuk patuh tanpa sokongan atau pengecualian yang mencukupi, ia berisiko menyingkirkan mereka sepenuhnya daripada ekonomi digital.

“Ini bertentangan dengan semangat sebenar untuk memperkasakan usahawan mikro dan memperluaskan penyertaan ekonomi melalui platform digital.

“Kerajaan harus mempertimbangkan pendekatan berperingkat, berlapis atau pengecualian bagi melindungi dan menyokong penjual mikro dalam talian di Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata, DARE sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan melalui sesi libat urus dan perbincangan dasar bagi memastikan pelaksanaan e-invois selari dengan matlamat pendigitalan negara tanpa membebankan usahawan mikro dalam talian secara tidak seimbang. – UTUSAN

Related Articles

Hektar REIT, Samaiden perkenal inisiatif kemampanan melalui tenaga solar
Ekonomi

Hektar REIT, Samaiden perkenal inisiatif kemampanan melalui tenaga solar

ZAINAL Iskandar Ismail (tiga dari kiri) bersama Chow Pur Hee (empat dari...

Pro-Net tingkat aksesibiliti poin pengecas EV
Ekonomi

Pro-Net tingkat aksesibiliti poin pengecas EV

ZHANG Qiang (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian di Centre of Excellence Proton...

Uniten, GMT tubuh makmal geoteknolog
Ekonomi

Uniten, GMT tubuh makmal geoteknolog

KHAIRUL (empat dari kiri) dan Mustapha (empat dari kanan) pada majlis pemeteraian...

MAB Academy terima anugerah IATA dalam penggunaan VR
Ekonomi

MAB Academy terima anugerah IATA dalam penggunaan VR

AIDA Salfaraz Ahmad Fadzil mewakili MAB Academy menerima Anugerah Inovasi Pusat Latihan...