PETALING JAYA: Sebanyak 85 peratus organisasi berkemungkinan akan memberikan kenaikan gaji tahun depan, menyamai keyakinan profesional dalam mencapai peningkatan gaji, menurut Robert Walters dalam Tinjauan Gaji 2025.
Jelas firma itu, kebanyakan organisasi iaitu 71 peratus pula menyatakan mereka akan meningkatkan gaji antara satu hingga lima peratus dalam memenuhi sebahagian besar jangkaan pekerja iaitu 61 peratus.
“Bagaimanapun, di sebalik penjajaran ini, syarikat mungkin berhadapan dengan calon yang mencari tawaran yang lebih lumayan dalam pasaran buruh yang kompetitif.
“Sebanyak 32 peratus berkata mereka akan meminta kenaikan 25 peratus dan ke atas daripada bakal majikan mereka. Sebaliknya, 63 peratus daripada majikan mendapati sukar untuk memenuhi jangkaan calon terhadap gaji dan manfaat yang lebih tinggi.
“Selain itu, sebanyak 41 peratus majikan mengatakan mereka menghadapi kesukaran untuk menawarkan gaji dan manfaat yang kompetitif untuk mengekalkan bakat, menunjukkan ketidakpadanan dalam perspektif antara organisasi dan golongan profesional,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pengambilan pekerja berasaskan kemahiran dan meningkatkan kemahiran adalah keutamaan syarikat.
“Dalam usaha menarik dan mengekalkan golongan profesional, syarikat semakin meletakkan tumpuan mereka pada pengambilan berasaskan kemahiran dan melengkapkan bakat sedia ada dengan kemahiran yang dituntut.
“Ini berlaku apabila organisasi berurusan dengan perubahan industri seperti kecerdasan buatan dan jurang dalam saluran bekalan bakat.
“Sebanyak 68 peratus daripada organisasi juga mengenal pasti persaingan yang tinggi untuk bakat sebagai cabaran utama dalam mengekalkan golongan profesional.
“Oleh itu, peningkatan kemahiran pekerja semakin menjadi keutamaan dengan 77 peratus majikan menawarkan kursus latihan dan pembangunan sebagai sebahagian daripada pakej manfaat pekerja yang kompetitif,” katanya.
Sementara itu, golongan profesional dari kedua-dua belah sektor pengambilan berkongsi pandangan optimis mengenai peluang kerjaya secara keseluruhan
“Lebih separuh iaitu 55 peratus daripada organisasi yang ditinjau mengatakan bahawa mereka meningkatkan rancangan pengambilan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
“Bagi majoriti (64 peratus) golongan profesional peringkat pertengahan hingga kanan pula menyatakan keyakinan tentang prospek pekerjaan dalam bidang mereka, dan 44 peratus berkata mereka sudah aktif mencari peluang baharu walaupun sedang bekerja” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Negara Robert Walters untuk Malaysia, Ai Rene Tan berkata, Malaysia berdiri di atas landasan ekonomi yang lebih kukuh selepas mengharungi jatuh bangun ekonomi global yang mencabar.
“Dengan Belanjawan 2025 memperkenalkan beberapa inisiatif yang menyasarkan aktiviti bernilai tinggi dan mempelbagaikan ekonomi, kami menjangka akan melihat lebih banyak peranan bernilai tinggi serta peningkatan keperluan keupayaan digital merentas pelbagai pengkhususan.
“Perkembangan ini akan memainkan peranan penting dalam membuka pintu untuk peningkatan kemahiran, transformasi digital dan mewujudkan peluang pekerjaan, memacu permintaan untuk bakat mahir,” katanya. – UTUSAN