KUALA LUMPUR, 6 September – Tourism Malaysia sedang giat menjalankan kempen promosi di Vietnam, sebuah negara yang pesat membangun dari segi ekonomi dan populasi, bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara Asia Tenggara itu menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Agensi itu mengambil peluang daripada pertumbuhan rancak kelas pertengahan Vietnam serta minat mereka terhadap pelancongan antarabangsa bagi meningkatkan ketibaan pelancong ke Malaysia.
Dengan populasi melebihi 100 juta dan ekonomi yang berkembang pesat, Vietnam menawarkan peluang yang lumayan kepada Malaysia untuk mempelbagaikan pasaran sumber pelancongan di rantau ASEAN.
“Vietnam kekal sebagai pasaran sumber utama bagi Malaysia.
“Adalah penting untuk mengekalkan inisiatif promosi yang kukuh bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara itu, terutamanya dengan adanya penerbangan baharu dari Vietnam ke Malaysia, termasuk Danang ke Kuala Lumpur oleh Malaysia Airlines, serta laluan baharu dari Da Lat ke Kuala Lumpur dan Ho Chi Minh City ke Kota Kinabalu oleh AirAsia.
\”Dengan peningkatan penerbangan secara terus, kami berhasrat untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan di rantau ini. Inisiatif-inisiatif ini akan memainkan peranan penting dalam kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,\” kata Pengarah Tourism Malaysia di Vietnam, Nor Hayati Zainuddin dalam satu kenyataan.
Tourism Malaysia menyasarkan untuk mengalu-alukan 475,000 pelancong dari negara itu tahun ini.
Sebagai sebahagian daripada kempennya di Vietnam, pejabat Tourism Malaysia turut menyertai Pameran Pelancongan Antarabangsa di Ho Chi Minh City dari 5 hingga 7 Sept dengan Vietnam dianggap sebagai pasaran utama pelan strategik Melawat Malaysia 2026 bersama China, India, Indonesia, dan Australia.
Malaysia menetapkan sasaran tinggi bagi menarik 35.6 juta pelancong yang dijangka menjana RM147.1 bilion untuk kempen itu ketika negara ini bersaing dengan jiran ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia dalam pasaran serantau yang bernilai kira-kira RM240 bilion.
“Pada masa ini, terdapat 142 penerbangan terus antara Vietnam dan Malaysia, dengan Tourism Malaysia menjangkakan pertumbuhan ketara dalam pasaran ASEAN, termasuk Vietnam.
“Pelancongan perubatan semakin popular dalam kalangan pelancong Vietnam, dan Malaysia merupakan antara destinasi pilihan untuk rawatan perubatan.
\”Buat masa ini, kami sedang mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia kepada warga Vietnam dengan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi, kebolehcapaian dan kos yang berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pelancongan Vietnam melaporkan lebih lima juta rakyat Vietnam melancong ke luar negara, dengan pelancong membelanjakan RM16.53 bilion (US$3.8 bilion) tahun lalu, menurut pakar industri pelancongan.
Peningkatan penggunaan media sosial, demografi muda, peningkatan pendapatan boleh guna, dan keinginan untuk rekreasi dalam kalangan Gen X mendorong pertumbuhan pelancongan luar Vietnam, didorong oleh pertumbuhan KDNK negara dengan purata enam peratus dan pendapatan per kapita sebanyak RM20,110 (US$4,623).
Malaysia menyasarkan untuk menarik 27.3 juta pelancong antarabangsa tahun ini, yang dijangka menjana RM102.7 bilion dalam hasil pelancongan untuk ekonomi negara.- Bernama