KUALA LUMPUR, 6 Mac – SME Bank, peneraju Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) menyatakan komitmen untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) khususnya kepada usahawan bumiputera yang berperanan sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi dan pertumbuhan PMKS.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata pihaknya telah melaksanakan rangkaian inisiatif komprehensif yang bersesuaian untuk memenuhi pelbagai keperluan usahawan Bumiputera.
Beliau berkata, SME Bank secara konsisten telah menyelaras inisiatifnya dengan agenda kerajaan untuk memperkasakan usahawan bumiputera, selaras dengan objektif menyeluruh Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) yang digariskan dalam agenda baharu pemerkasaan bumiputera.
\”Sejak penubuhannya, SME Bank telah memberi lebih daripada RM 30.6 bilion pembiayaan kepada sejumlah 17,380 PMKS bumiputera, merangkumi program bumiputera dan pelbagai kemudahan pembiayaan lain. Salah satu program tersebut adalah program i-SMART (Skim Anjakan Usahawan), inisiatif RM180 juta yang tertumpu untuk mewujudkan juara Bumiputera.
\”Program ini memberi tumpuan kepada mempercepatkan pertumbuhan dan prestasi PMKS, mendorong mereka ke arah daya saing global dan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan sosial masyarakat,\” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Aria, SME Bank juga turut menerajui dalam memupuk kemajuan berorientasikan eksport dengan Program Eksport Perniagaan (BEP), satu inisiatif intervensi yang direka dengan teliti yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama MATRADE.
Disokong oleh dana khusus sebanyak RM30 juta, BEP katanya dirangka secara strategik untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat untuk eksport antarabangsa.
“Sebanyak RM500 juta lagi Pembiayaan Jaguh Serantau bagi menyokong usaha eksport Bumiputera. Sebagai tambahan, SME Bank memperuntukkan RM10.5 juta melalui Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (PPKV) untuk memberi sokongan kepada vendor Bumiputera dalam meningkatkan daya saing, kemampanan dan daya tahan mereka,\” katanya.