KUALA LUMPUR, 27 Ogos- Pengusaha Bumiputera terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) digesa melihat Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) sebagai peluang yang baik bagi meningkatkan daya saing dan skala perniagaan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Zunika Mohamed berkata pengusaha perlu proaktif mencari jalan mencipta nilai tambah dan menembusi pasaran baharu, terutama dalam sektor berpotensi pertumbuhan dan bernilai tinggi.
Zunika mahu PuTERA35 dilihat sebagai titik permulaan melonjakkan PMKS Bumiputera, sekali gus mengangkat darjat dan martabat mereka ke peringkat global.
\”Bila kita melihat keperluan untuk kita pastikan negara beranjak daripada apa yang kita ada sekarang untuk menuju pembangunan ekonomi, menjadi negara yang berpendapatan tinggi.
\”Kita perlu membuat perubahan bagi menghadapitransformasi, sekali gus memastikan kesan yang berlaku pada peringkat global contohnya dapat kita meminimumkan,\” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.
Dalam pada itu, Zunika berkata Bumiputera perlu bersama-sama kerajaan untuk bangkit dan membangunkan diri masing-masing supaya boleh berdikari, seterusnya tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
\”Ini kerana kebanyakan daripada apa yang kita dengar, sebahagian daripada Bumiputera mengharapkan bantuan dan terlalu bergantung kepada kerajaan.
\”Jadi kita ingin membuat peralihan daripada situasi tersebut kepada menyediakan bantuan supaya Bumiputera boleh bangun dan berdikari sendiri,\” katanya.