Friday , 15 November 2024
Home Perniagaan Prestasi ringgit kukuh dengan peningkatan 3.2%
Perniagaan

Prestasi ringgit kukuh dengan peningkatan 3.2%

(Foto Fail)

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Pergerakan ringgit dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini dipengaruhi faktor global terutamanya perkembangan di Amerika Syarikat (AS) dan pemulihan ekonomi China yang kurang memberangsangkan.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, pada awal tahun ini, mata wang tempatan bermula kukuh dengan peningkatan sebanyak 3.2% dan ditutup pada RM4.2677 berbanding dolar AS pada akhir Januari.

Prestasi kukuh ini disokong jangkaan Rizab Persekutuan (FED) AS mencapai kadar terminal dalam masa terdekat dan sentimen positif terhadap pembukaan semula sempadan China.

Bagaimanapun, ringgit mula mengalami beberapa siri penyusutan sejak pertengahan Februari hingga Ogos berpunca daripada perubahan naratif mengenai kenaikan kadar faedah AS yang cenderung ke arah pengetatan dasar monetari bagi mengekang inflasi.

Prestasi kurang memberangsangkan ini juga didorong kelembapan pemulihan ekonomi China setelah bank pusat negara tembok besar itu mengumumkan penurunan kadar faedah secara mengejut pada bulan Jun dan Ogos yang melemahkan nilai renminbi, sekali gus menjejaskan sentimen ringgit.

Pada tempoh sama, pasaran pertukaran asing turut terjejas oleh keruntuhan Silicon Valley Bank SVB dan krisis siling hutang AS.

Meskipun berdepan insiden tersebut, dolar AS kekal menjadi pilihan dalam kalangan pelabur sebagai mata wang selamat selain pelarasan kadar faedah negara “Uncle Sam” yang cepat dan berskala besar serta jangkaan kenaikan pada masa hadapan memberikan sokongan tambahan kepada dolar AS.

Keadaan ini telah menyebabkan ringgit menyusut sebanyak 4.9% dan ditutup pada RM4.6385 berbanding dolar AS pada akhir Ogos sejajar dengan mata wang utama dan serantau lain yang turut merosot berbanding dolar AS.

Melangkah ke hadapan, nilai ringgit akan didorong oleh asas ekonomi Malaysia yang baik disokong kitaran kenaikan kadar faedah AS yang dijangka berakhir serta pemulihan ekonomi China.

Memandangkan Malaysia mengamalkan rejim kadar pertukaran yang fleksibel, nilai mata wang tempatan akan terus dipengaruhi oleh perkembangan global serta domestik.


(Foto Fail)

Related Articles

Perniagaan

Kerajaan fokus optimum perbelanjaan, tingkatkan hasil

Rafizi RamliKUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengoptimumkan perbelanjaan,...

Perniagaan

Pelabur asing teruskan penjualan ekuiti domestik untuk minggu ketiga

FOTO RTMKUALA LUMPUR, 14 Oktober– Pelabur asing meneruskan penjualan ekuiti domestik untuk...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Perlu adil, inklusif untuk semua golongan

Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan pada temu bual program Selamat Pagi Malaysia...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Dana perkasa Industri Seni dan Kreatif

FOTO RTM / LivevarthaKUALA LUMPUR, 13 Oktober– Menjelang Belanjawan 2025, penggiat seni...