KUALA LUMPUR, 5 Mac- Proton Parts Centre Sdn Bhd (PPCSB) merancang untuk memperluas gudangnya dengan pembukaan pusat bahagian serantau baharu di Sabah pada suku kedua tahun ini.
Usaha itu berikutan gudang PPCSB dilihat sebagai pusat saraf bagi operasi dan mengendalikan semua fungsi penting kepada rantaian bekalan.
Ini termasuk pemprosesan tempahan, import,eksport, dan penghantaran komponen ke Malaysia Timur.
Melalui kenyataan, pihaknya memaklumkan ketika ini, gudang utamanya merangkumi saiz lantai sebesar 26,700 meter persegi dan secara purata, antara 2,500 hingga 4,500 tempahan talian diproses setiap hari.
PPCSB juga meningkatkan purata keupayaan keluaran penghantaran hariannya sebanyak 35 peratus.
Manakala pendekatan proaktifnya untuk penambahbaikan proses telah menghasilkan pengurangan 63 peratus dalam jumlah tempahan yang belum disempurnakan.
Oleh itu, lebih banyak pesanan dapat dipenuhi dalam jangka masa perkhidmatan yang dijanjikan.
Pihaknya akan terus berusaha untuk menambah baik perkhidmatan selepas jualan dan memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi.