TOKYO, 20 Februari – MyDIGITAL Corporation dan Toshiba Digital Solutions Corporation memeterai Perjanjian Kerjasama Perkongsian bagi aplikasi teknologi data raya.
MyDIGITAL diwakili Ketua Pegawai Ekeskutif, Fabian Bigar manakala Toshiba Digital Solutions diwakili Pengurus Besarnya, Naoki Yamaguchi.
Majlis turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden yang juga Ketua Pegawai Elksekutif Toshiba Corporation, Taro Shimada.
Usahasama itu bertujuan menangani dan memaksimumkan cabaran dan peluang masa kini melibatkan era digital, rentas ekonomi, masyarakat dan pembangunan alam sekitar.
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menjalankan projek perintis antaranya menggunakan data radar cuaca, perancangan aktiviti dan perjalanan pintar.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya turut mencadangkan agar data terbuka bukan keselamatan diterokai dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat seiring era digitalisasi masa kini.
Beliau juga mengharapkan lebih banyak organisasi dari Malaysia dan Jepun dapat bekerjasama dalam meneroka data terbuka baharu demi manfaat kedua-dua negara.