PUTRAJAYA, 23 Februari- Pelabuhan Klang mencatat jumlah kontena tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu iaitu 14.06 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) berbanding 13.22 juta TEU pada 2022.
Pelabuhan Tanjung Pelapas (PTP) pula memproses 10.48 juta TEU pada tahun lalu berbanding 10.51 juta TEU pada 2022.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peningkatan tersebut menunjukkan prestasi cemerlang sektor maritim, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
\”Prestasi cemerlang tersebut adalah mencerminkan kepesatan ekonomi Malaysia sebagai komponen penting dalam rantaian bekalan dunia.
\”Saya nak tekankan bahawa nisbah kargo transshipment (pemindahan penghantaran) dan kargo tempatan di Pelabuhan Klang telah berubah dari 70:30 pada tahun 2014 hingga 55:45 pada tahun 2023,\” katanya ketika berucap pada Majlis Sua Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini
Tambah beliau, Pelabuhan Klang dan PTP terus kekal sebagai 20 pelabuhan utama dan tersibuk di dunia.
Dalam pada itu, sektor udara turut mencatatkan prestasi cemerlang dengan peningkatan pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik sebanyak 10.7 peratus pada Januari ini berbanding tahun lepas.
Jumlah pergerakan penumpang di lapangan terbang seluruh negara mencatatkan seramai 81.9 juta orang pada 2023 iaitu tertinggi sejak pandemik COVID-19.
\”Berbanding dengan 121 destinasi pada tahun 2022, Malaysia mempunyai 147 laluan penerbangan yang berhubung dengan seluruh dunia dengan peningkatan sebanyak 25 peratus.
\”Untuk makluman, sejak pengenalan visa free pada November lalu, pergerakan penumpang pada Disember dan Januari tahun ini terus melihat peningkatan lebih dua digit,\” tambahnya.
Anthony turut menyatakan telah mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi China Eastern Airlines.
Jelasnya, pihak tersebut komited untuk pembukaan lima laluan baharu iaitu Kuala Lumpur ke Xian, Chengdu, Wuhan dan Nanjing, manakala Pulau Pinang ke Shanghai Pudong.
Kesemua laluan baharu berkenaan bakal beroperasi tahun ini.