KUALA LUMPUR, 10 Februari- Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan seimbang, dengan dinamik penawaran dan permintaan mengimbangi di antara satu sama lain.
Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata aktiviti pengeluaran dan perdagangan getah akan tersekat pada tahap tertentu berikutan hujan yang tidak henti-henti di negara pengeluar getah dan juga cuti Tahun Baharu Cina yang panjang.
Beliau berkata dalam pada itu akan berlakunya aktiviti pembelian dan penambahan semula stok secara sekali-sekala berdasarkan penggunaan semasa.
“Sehubungan itu, harga sepatutnya kekal mendatar dengan sedikit kecenderungan untuk meningkat terutamanya disebabkan oleh permulaan musim hujan. Pengeluaran getah dijangka jatuh dalam tempoh ini,” katanya kepada Bernama.
Menurut Low, indeks harga pengguna China jatuh 0.8 peratus tahun ke tahun pada Januari berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Biro Perangkaan Kebangsaan pada Khamis, dan ia merupakan penurunan bulanan paling ketara dalam harga pengguna bagi tempoh lebih 14 tahun.
Beliau berkata situasi itu mungkin menyebabkan berlakunya penguncupan aktiviti dalam sektor pembuatan China dan menjejaskan permintaan serta penggunaan getah kerana China adalah pengimport terbesar getah.
\”Oleh itu, akan wujud terlalu banyak ketidaktentuan yang tidak dijangka untuk permintaan yang kukuh dan harga yang lebih baik buat sementara waktu,\” katanya.
Selain itu, beliau berkata peniaga pasaran juga perlu berhati-hati tentang turun naik harga minyak dan dolar AS yang tidak menentu, yang mungkin memberi kesan kepada harga dan permintaan getah.
“Ketidaktentuan seperti itu boleh menjejaskan perniagaan manakala dolar AS yang mengukuh boleh memudaratkan imbangan pembayaran,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga getah tempatan akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar AS ditambah dengan harga penanda aras minyak mentah.
“Pengendali pasaran akan terus memantau lebih banyak petunjuk mengenai ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan pengumuman lanjut mengenai langkah rangsangan dari China sambil memerhatikan perkembangan terkini mengenai ketegangan geopolitik di Timur Tengah,” katanya.
Sepanjang minggu ini, pasaran getah tempatan kebanyakannya ditutup bercampur-campur seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, disebabkan data ekonomi AS yang kukuh mendorong keyakinan bahawa AS akan mengekalkan kadar faedah yang tinggi dalam jangka masa panjang.
Bagi asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) ditutup pada 713.0 sen sekilogram (kg) pada Khamis berbanding penutup Jumaat sebelumnya iaitu pada 710.0 sen, naik 3.0 sen atau 0.42 peratus, manakala susu getah pukal menambah 24.5 sen atau kira-kira 3.76 peratus lebih tinggi untuk ditutup pada 676.5 sen sekilogram daripada 652.0 sen sebelumnya.
Pada 5 petang Khamis, harga rujukan LGM bagi getah fizikal GMM 20 berada pada 715.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal ialah pada 678.5 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup selama dua hari iaitu pada Jumaat 9 Feb, dan Isnin 12 Feb, sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Ia akan beroperasi semula pada 13 Feb.- Livevartha