KUALA LUMPUR, 2 Julai- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini dalam keadaan prestasi kukuh pasaran niaga hadapan getah serantau, peningkatan harga minyak mentah dan penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.
Beliau berkata peningkatan selanjutnya dibataskan oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bercampur-campur dan langkah peniaga untuk terus berhati-hati menjelang pengumuman data monetari utama AS.
“Niaga hadapan getah Jepun menokok pada Selasa, mengakhiri penurunan selama dua hari berturut-turut berikutan harga minyak mentah yang tinggi manakala kelemahan yen turut memberikan sokongan.
“Harga minyak mengalami perubahan kecil pada Selasa, kekal menghampiri paras tertinggi dalam tempoh dua bulan yang diraih pada sesi sebelumnya, berdasarkan permintaan bahan api yang dijangka meningkat berikutan perjalanan musim panas dan jangkaan penurunan kadar faedah AS yang berupaya mendorong pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia SMR 20 naik 9.5 sen kepada 791 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 1.5 sen kepada 694.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 794 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 692 sen sekilogram.
– Livevartha