KUALA LUMPUR, 17 Februari – Pasaran getah dijangka tidak banyak berubah minggu depan dengan sedikit kenaikan minggu depan kerana musim daun getah luruh ketika ini.
Mantan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata ketika musim daun getah luruh, beberapa negara masih mengalami cuaca hujan dan menjejaskan pengeluaran getah.
Selain itu, beliau berkata konflik di Ukraine dan Timur Tengah semakin memuncak sejak kebelakangan ini dan ia boleh menyebabkan ketidaktentuan dan ketidakstabilan dalam banyak aspek termasuk perdagangan dan politik.
\”Pembelian komoditi itu di peringkat antarabangsa akan terjejas kerana ketegangan yang meningkat akibat konflik,\” katanya kepada Bernama.
Seorang peniaga berkata pasaran getah tempatan meningkat sedikit minggu ini disokong oleh industri kenderaan elektrik yang memberangsangkan, ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah dalam persekitaran ketiadaan peserta dari China semasa cuti Tahun Baharu Cina.
Bagi asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) ditutup pada 728.0 sen sekilogram (kg) pada Jumaat berbanding minggu sebelumnya iaitu pada 713.0 sen, naik 2.1 peratus, manakala susu getah pukal melonjak 1.26 peratus lebih tinggi untuk ditutup pada 685.0 sen sekilogram daripada 676.5 sen sebelumnya.
Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi getah fizikal GMM 20 berada pada 731.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal ialah pada 687.0 sen sekilogram.-Livevartha