Saturday , 21 September 2024
Home Perniagaan Pasaran getah dijangka alami dagangan berjulat kecil minggu depan
Perniagaan

Pasaran getah dijangka alami dagangan berjulat kecil minggu depan

Pasaran getah dijangka alami dagangan berjulat kecil minggu depan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 6 Julai– Pasaran getah dijangka mengalami dagangan dalam julat kecil dengan kecenderungan rendah minggu depan susulan iklim berubah menjadi lebih baik selain keadaan tanpa hujan yang berterusan, kata pakar industri.

Pakar industri Denis Low berkata keadaan itu menandakan situasi bekalan getah yang lebih baik bagi beberapa minggu akan datang.

“Ini juga bermakna harga getah akan menjadi lebih saksama dan tidak mempunyai kesan besar serta tidak terkawal seperti beberapa minggu sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan kesan La Nina bermula bulan ini hingga Januari 2025 dan membawa lebih banyak hujan berbanding kebiasaan ke wilayah utara dan timur laut sehingga Oktober.

“Peningkatan taburan hujan akan menjejaskan pengeluaran getah,” katanya.

Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) pula menjelaskan harga dijangka terus susut sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau.

Penurunan harga minyak mentah ditambah dengan data ekonomi Amerika Syarikat yang suram akan menimbulkan beberapa kebimbangan terhadap permintaan jangka masa panjang yang mungkin terus mengekang sebarang momentum kenaikan harga, menurut persatuan itu.

“Kami percaya kekangan bekalan akibat cuaca buruk di Thailand akan mengurangkan hasil getah dan meningkatkan kerentanan kepada penyakit daun. Ini mungkin boleh mengubah keadaan pasaran yang tidak menggalakkan itu,” tambahnya.

Seorang peniaga pula berkata harga akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kekukuhan ringgit berbanding dolar AS dan harga minyak mentah penanda aras dalam keadaan kebimbangan permintaan China.

“Peniaga akan meneliti petunjuk ekonomi seterusnya daripada ekonomi utama dengan mengharapkan lebih banyak tindakan oleh China di samping memantau sebarang perkembangan mengenai ketegangan tarif China-Eropah dan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun 6.5 sen kepada 779 sen sekilogram daripada 785.5 sen sekilogram minggu lepas, manakala susu getah pukal susut 29 sen kepada 679 sen sekilogram daripada 708 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal LGM untuk GMM 20 ialah 772.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal ialah 675 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada Isnin, 8 Julai, susulan cuti gantian Awal Muharam yang disambut pada Ahad, 7 Julai dan akan beroperasi semula pada Selasa, 9 Julai.- Livevartha

Related Articles

Kadar jangka pendek dijangka stabil susulan operasi BNM
Perniagaan

Kadar jangka pendek dijangka stabil susulan operasi BNM

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 10 September– Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari...

Konsortium Koperasi Ar-Rahnu bakal ditubuhkan
Perniagaan

Konsortium Koperasi Ar-Rahnu bakal ditubuhkan

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah / Foto RTMKUALA LUMPUR, 9 September...

Pasaran hartanah Malaysia separuh pertama 2024 melonjak
Perniagaan

Pasaran hartanah Malaysia separuh pertama 2024 melonjak

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh...

Tiga geran digital 2024 dibuka hari ini
Perniagaan

Tiga geran digital 2024 dibuka hari ini

Gambar hiasanKUALA LUMPUR, 9 September – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membuka...