KUALA LUMPUR, 19 September– Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah sedikit bagi hari kedua berturut-turut pada Selasa, kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata MSM juga mencatatkan sedikit pemulihan daripada penurunan pada sesi awal dagangan berikutan kebimbangan terhadap cuaca yang menjejaskan pengeluaran ditambah dengan harga minyak mentah kukuh yang meningkatkan sentimen.
“Kami mengesan paras sokongan pada RM3,650 dan paras ketahanan pada RM3,900,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak Oktober 2023 menambah sebanyak RM22 kepada RM3,700 setan metrik, November 2023 meningkat RM12 kepada RM3,727 setan metrik, manakala Disember 2023 tidak berubah pada RM3,749 setan metrik.
Bagaimanapun, kontrak Januari 2024 susut RM4 kepada RM3,786 setan metrik, Februari 2024 turun RM8 kepada RM3,822 setan metrik dan Mac 2024 merosot RM11 kepada RM3,850 setan metrik.
Jumlah dagangan melonjak kepada 74,502 lot daripada 56,351 lot pada semalam, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 207,847 kontrak daripada 204,411 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi September Selatan naik sebanyak RM30 kepada RM3,750 setan metrik.- Livevartha
(Foto hiasan)