KUALA LUMPUR, 19 Mac – Perbadanan PembangunanPerdagangan LuarMalaysia (MATRADE) mengembangkan Pejabat Pesuruhjaya Perdagangan di Paris.
Langkah itu bertujuan meningkatkan hubungan dagangan antara Malaysia dan Perancis, Sepanyol,Portugal dan Monaco yang berada di bawah bidang kuasa Matrade Paris.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi satu hantaran di Facebook berkata, usaha itu menandakan keseriusan Malaysia meningkatkan perdagangan antarabangsa.
Beliau yakin pengembangan pejabat MATRADE Paris akan mengukuhkan usaha mendekatkan pemain industri di negara-negara bawah seliaannya dengan syarikat tempatan.
Tahun lalu, Perancis muncul rakan dagang ketiga terbesar negara dalam Kesatuan Eropah, dengan perdagangan dua hala berjumlah 3.41 bilion euro.