KUALA LUMPUR, 28 Mei- Krisis iklim dan kemorosotan alam sekitar akan mengurangkan sehingga 18 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global menjelang 2050 sekiranya ia tidak dibendung.
Gebenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kesan krisis iklim itu bukan sahaja memburukkan ketidaksamaan ekonomi, tetapi juga melebarkan jurang perbezaan secara global.
\”Prinsip ekonomi dan kewangan Islam memimpin dan memacu pertumbuhan berasaskan nilai melangkaui matlamat keuntungan yang seimbang, progesif, mapan dan inklusif.
\”Ia selaras dengan objektif syariah yang kita pupuk untuk kemakmuran bersama,\” katanya dalam ucaptamanya di Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di sini.
Forum selama dua hari itu memfokuskan mengenai perbincangan merangkumi Maqasid Syariah dalam pembaharuan struktur ekonomi yang mampan.
Selain memajukan inovasi sebagai pemangkin bagi mengukuhkan sosioekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.
Forum berkenaan dihadiri kira-kira 2,000 peserta dan perwakilan dari 75 negara.
Ia bermatlamat mencari penyelesaian dalam ekonomi dan kewangan dalam menangani cabaran sosial global.
Dalam pada itu, beliau berkata prinsip Maqasid al-Syariah wajar diterapkan dalam pembaharuan ekonomi dan struktur yang mampan.
BNM turut mencadangkan usaha memajukan inovasi dalam aktiviti perdagangan.
Beliau berkata, wakaf juga boleh dijadikan pemangkin untuk mengukuhkan model sosioekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.
\”Ketiga, memperkukuh integrasi global untuk memacu pembangunan ekonomi bersama dan berkongsi kemakmuran dalam kalangan negara Islam,\” katanya.
Tambahnya, penerapan prinsip syariah sebagai panduan pembangunan dalam sejarah tamadun Islam, terbukti berjaya mengurangkan kemiskinan dan memberi kemakmuran ekonomi.
Beliau amat menggalakkan usaha-usaha yang menyokong cadangan tersebut.
Ini termasuk sesi libat urus dan dialog bersama pelbagai organisasi dan pelabur, serta meningkatkan persekitaran kawal selia bagi memudahkan penggunaan kontrak syariah yang pelbagai.