PUTRAJAYA, 5 Januari- Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) akan dianjurkan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda golongan berkenaan.
Kongres tiga hari yang bermula 29 Februari itu, bakal membincangkan resolusi dan cadangan bagi memperkasa ekonomi Bumiputera.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KEB juga dilihat platform mengupayakan penglibatan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi.
Seterusnya, meningkatkan pendapatan Bumiputera.
\”Perdana Menteri akan terima resolusi dan umumkan tindakan pelaksanaan kepada resolusi dicadangkan itu, kita tahu bahawa ia kongres Bumiputera anjuran kerajaan melibatkan KKDW, MARA dan Kementerian Ekonomi.
\”Kita libatkan 10 kluster di mana semua bidang keterlibatan bidang ekonomi dan luar ekonomi. Sarawak, kita libatkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak dan Sabah kita libatkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun, dua kluster kita wujudkan selain lapan kluster lain,\”katanya.
Tambahnya, sekretariat juga akan diwujudkan bagi memantau kejayaan pelaksanaan resolusi bagi setiap kluster dan memastikan ia berhasil mencapai objektif.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun 2024 Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah di Putrajaya.
KEB merupakan anjuran bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Ekonomi serta bakal berlangsung 29 Februari sehingga 2 Mac depan.