KUALA LUMPUR, 11 Mac- Keuntungan operasi Khazanah Nasional Berhad melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM5.9 bilion pada tahun kewangan 2023 daripada RM1.6 bilion pada 2022.
Syarikat pelaburan itu mencatat prestasi kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global meliputi pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik yang berterusan.
Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, keuntungan operasi itu didorong oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat pelaburannya.
Selain itu, disumbang oleh keuntungan nilai saksama, dan pemeliharaan modal.
Aset Penerbangan dan Pelancongan Khazanah menunjukkan prestasi kewangan dan operasi yang lebih baik.
Malaysia Aviation Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai yang positif untuk pertama kalinya dalam tempoh setahun penuh.
Khazanah membayar dividen sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan untuk tahun 2023, dengan dividen terkumpul sebanyak RM18.1 bilion sejak tahun 2004.