KUALA LUMPUR, 17 April – Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan prospek positif terhadap sektor penerbangan meskipun ketegangan meningkat di Asia Barat, trafik penumpang yang berpotensi terjejas di rantau itu dan kos bahan api jet yang turun naik.
Namun, sekiranya situasi di rantau itu semakin tegang hingga menyebabkan trafik penumpang terhenti sepenuhnya, ia akan memberi kesan kepada operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
\”MAHB setakat ini belum mengeluarkan statistik lapangan terbang 2023 yang memperincikan trafik penumpang dari rantau itu,\” kata Maybank IB dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Mengikut statistik 2019, trafik penumpang ke dan dari Asia Barat menyumbang tujuh peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Manakala, 28 peratus disumbangkan trafik penumpang antarabangsa di Sabiha Gokcen Istanbul, Turkiye yang turut dikendalikan MAHB.
Maybank IB turut menyatakan kebimbangan kesan harga bahan api yang lebih tinggi terhadap Capital A dan AirAsia X.