KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kerajaan kekal komited dan fokus dalam usaha pelaksanaan dasar-dasar pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal dalam tempoh jangka panjang.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, perkara tersebut dijangka dapat meningkatkan daya tarikan jangka masa panjang Malaysia kepada pelabur asing seterusnya akan menyumbang terhadap pengukuhan nilai ringgit.
“Selain itu, Malaysia terus merekodkan kejayaan dalam menarik pelaburan asing dengan pelaburan diluluskan melonjak pada suku pertama tahun ini.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa pelabur semakin yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan usaha-usaha dilakukan oleh kerajaan,” kata MoF dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.
Menurut Kementerian Kewangan, aliran masuk dana dan pelaburan asing ini dijangka berterusan dan ia menyokong pengukuhan nilai ringgit.
MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk memastikan nilai mata wang ringgit terus stabil sekali gus memastikan pelaburan asing keluar dan masuk dalam pasaran ekuiti Malaysia sentiasa konsisten.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan berkata Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik.
“Langkah ini termasuk melakukan intervensi untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan,” kata MoF.