KUALA LUMPUR, 3 Mei- Peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang setelah Parlimen meluluskan kenaikan gaji penjawat awam.
Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, tindakan kenaikan harga barang itu akan mewujudkan kitaran ekonomi yang tidak sihat.
\”Diharapkan dengan kenaikan gaji ini, janganlah ada mereka yang mengambil kesempatan, mengaut keuntungan berlebihan.
\”Itu penting ya. Kenaikan gaji perlu dilihat dengan kenaikan kos sara hidup dan juga kadar inflasi,\” katanya kepada RTM hari ini.
Tambah beliau, kenaikan gaji penjawat awam mampu meningkatkan kuasa beli tempatan, sekali gus membantu momentum ekonomi negara.
\”Perbelanjaan ini penting untuk menjana ekonomi negara. Ia akan mewujudkan satu kitaran atau keadaan yang akan menghasilkan peningkatan daripada segi permintaan, seterusnya pengeluaran.
\”(Jadi) keadaan ini akan mengerak dan memacu ekonomi negara supaya lebih pantas,\” katanya.
Madeline berkata, peningkatan gaji tersebut adalah satu gambaran yang menunjukkan bahawa kerajaan komited dan menghargai sumbangan para penjawat awam negara.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember depan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Menurut beliau, kerajaan akan meningkatkan gaji penjawat awam bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.
ARTIKEL BERKAITAN
Anwar umum kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai Disember ini
Kadar kenaikan gaji, perlu tumpu penjawat awam bergaji lebih rendah – Pakar
Penjawat awam sambut baik kenaikan gaji lebih 13%