KUALA LUMPUR, 14 Disember- Industri bekalan elektrik memerlukan pembaharuan menyeluruh bagi membolehkan pengembangan sektor tenaga boleh baharu.
Menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) langkah reformasi akan mengggalakkan daya saing pasaran selaras prinsip asas Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Cadangan itu dikemukakan IDEAS dalam laporan bertajuk, \”Keberkecualian Daya Saing dalam Sektor Tenaga Malaysia: Menghapuskan Halangan demi Industri Tenaga yang Lebih Hijau dan Inovatif.\”
Laporan itu merungkai aspek penting industri tenaga, termasuk cabarannya dan cadangan hala tuju bagi membolehkan peralihan lebih lancar dan cekap ke arah penggunaan tenaga boleh baharu di Malaysia.
IDEAS dalam kenyataan memaklumkan, model bekalan tenaga bersepadu yang diamalkan sejak dahulu telah berjaya menyediakan sumber tenaga yang berpatutan kepada rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, ia tidak seiring dengan hala tuju negara ke arah sumber tenaga bersih, berkala, dan tidak berpusat.
Pada masa sama, sektor tenaga Malaysia juga perlu menyaksikan peningkatan pelaburan dan inovasi agar matlamat pelepasan karbon sifar bersih dapat dicapai dalam masa terdekat.