KUALA LUMPUR, 23 April- Peningkatan indeks pasaran saham negara, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada paras tertinggi tahun ini iaitu 1,567.57 mata mengesahkan bahawa ekonomi Malaysia akan terus menguat.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam satu hantaran di Facebook berkata, FBM KLCI hari ini mencecah paras 1,567.57 mata pada paras tertinggi harian menjelang 11.00 pagi tadi, sebelum ditutup pada paras 1,561.64 mata.
Menurut Rafizi, walaupun sentimen negatif terus dimainkan oleh pihak pembangkang, sentimen itu tidak sama dengan keadaan yang berlaku di pasaran.
\”Bursa Malaysia telah menunjukkan peningkatan secara konsisten sejak 12 bulan lepas untuk mencecah paras tertinggi pada paras 1,567.57 mata pagi tadi.
\”Peningkatan berterusan yang konsisten ini bersamaan dengan kenaikan 14.45 peratus pulangan tahunan kepada pelabur,\” kata Rafizi dalam hantaran itu.
Dana-dana rakyat yang dikendalikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah antara pemegang saham terbesar syarikat-syarikat di Bursa Malaysia.
\”Apabila pasaran saham naik secara konsisten dalam setahun yang lepas dan memberi peningkatan 14.45 peratus dalam pulangan tahunan, ini akan dapat diterjemahkan dalam bentuk keuntungan yang lebih besar kepada rakyat pada masa hadapan sekiranya maraton ini dapat diteruskan.
\”Tanggungjawab membaiki ekonomi negara memerlukan perspektif jangka panjang. Namun, peningkatan yang berlaku (tanpa kita sedar) seperti hari ini memberi pengesahan bahawa ekonomi kita akan terus menguat,\” katanya.