Sunday , 22 December 2024
Home Perniagaan Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2024 – PM
Perniagaan

Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2024 – PM

Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2024 – PM

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 18 Mei- Prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada suku pertama membuktikan dasar kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh dengan mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus, berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya, didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak

\”Dalam tahun pertama pentadbiran, kerajaan MADANI telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam,\” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan optimis Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan akan berkembang pada kadar unjuran rasmi antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi setahun penuh 2024.

\”Tahap keyakinan itu dicerminkan dengan pertumbuhan ekonomi suku pertama yang berkembang sebanyak 4.2 peratus dan mengatasi unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.9 peratus,\” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan bertekad untuk menjayakan pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI.

\”Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik boleh dilihat melalui rekod paras baharu Bursa Malaysia mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia,\” katanya.

Mengenai pertumbuhan ekonomi suku pertama, dari sudut penawaran, semua sektor melonjak dan memangkin pertumbuhan ekonomi.

Ia boleh dilihat melalui prestasi asas ekonomi yang menggalakkan, antaranya pasaran buruh mengekalkan momentum positifnya dengan jumlah pekerja meningkat 2.1 peratus kepada 16.4 juta orang.

Selain itu, lebih daripada 50,000 pekerjaan baharu telah dicipta seterusnya menyumbang kepada kadar pengangguran yang rendah iaitu 3.3 peratus, manakala prestasi gaji dan upah kekal memberangsangkan dengan sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus dan pembuatan 1.2 peratus.

Pada suku dikaji, kadar inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus, berbanding 1.6 peratus pada suku keempat 2023.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pula menokok 3.3 peratus, disokong oleh momentum positif dalam semua subsektor yang dipacu oleh elektrik (8.9 peratus); perlombongan (5.9 peratus); dan pembuatan (2.1 peratus).

Nilai kerja pembinaan mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 14.2 peratus berjumlah RM36.8 bilion pada suku pertama dengan kenaikan itu didorong oleh peningkatan dalam semua subsektor yang dipacu oleh kejuruteraan awam (24.7 peratus); aktiviti pembinaan khas (11.8 peratus); dan bangunan kediaman (11.5 peratus).

Daripada perspektif sektor luaran, jumlah dagangan Malaysia berkembang sebanyak 7.1 peratus kepada RM690.6 bilion, didukung oleh peningkatan eksport kasar sebanyak 2.2 peratus kepada RM362.4 bilion dan import kasar sebanyak 13.1 peratus kepada RM328.2 bilion.

Malaysia kekal mencatat lebihan dagangan yang berjumlah RM34.2 bilion pada suku pertama 2024.

Akaun semasa dalam Imbangan Pembayaran mencatat lebihan sebanyak RM16.2 bilion atau 3.6 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar, disumbangkan oleh lebihan dalam akaun barangan serta ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

Pelaburan langsung asing (FDI) bersih adalah sebanyak RM5.5 bilion khususnya dari Hong Kong, Amerika Syarikat, Jerman, Kepulauan Cayman dan Bermuda.

FDI itu disalur dalam sektor perlombongan dan kuari; sektor komunikasi dan maklumat serta aktiviti kewangan dan insurans/takaful.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Kewangan menegaskan, peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat lagi dengan dasar jitu kerajaan MADANI.

\”Kerangka Ekonomi MADANI, yang memeta strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, telah mula mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara.

\”Pertumbuhan ini turut dipacu oleh langkah ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan MADANI Kedua (2024) serta tekad kerajaan untuk membawa pendekatan pengurusan kewangan yang berhemat di samping terus memastikan kebajikan golongan rentan kekal terpelihara,\” katanya.

Sebagai tambahan, Kementerian Kewangan berkata, pelaksanaan strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), serta inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kekal menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi, sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang meningkatkan kualiti hidup rakyat.

\”Melangkah ke hadapan, usaha akan dipergiat bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta melonjakkan produktiviti. Usaha ini bertujuan untuk memastikan dasar pro-pembangunan ekonomi dilaksanakan seperti dirancang bagi mencapai aspirasi negara,\” katanya.

Related Articles

Perniagaan

Kerajaan fokus optimum perbelanjaan, tingkatkan hasil

Rafizi RamliKUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengoptimumkan perbelanjaan,...

Perniagaan

Pelabur asing teruskan penjualan ekuiti domestik untuk minggu ketiga

FOTO RTMKUALA LUMPUR, 14 Oktober– Pelabur asing meneruskan penjualan ekuiti domestik untuk...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Perlu adil, inklusif untuk semua golongan

Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan pada temu bual program Selamat Pagi Malaysia...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Dana perkasa Industri Seni dan Kreatif

FOTO RTM / LivevarthaKUALA LUMPUR, 13 Oktober– Menjelang Belanjawan 2025, penggiat seni...