KUALA LUMPUR, 26 Januari- Bursa Malaysia memulakan dagangan dengan lebih tinggi pada Jumaat yang menyaksikan indeks petunjuk utama kekal dalam lingkungan paras 1,500, dipacu oleh sentimen positif di peringkat global.
Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.66 maata kepada 1,504.76 berbanding paras 1,504.1 pada akhir dagangan Rabu.
Pasaran ditutup semalam bersempena cuti Thaipusam.
Sewaktu pasaran dibuka hari ini, indeks penanda aras itu susut 0.65 mata pada 1,503.45.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 221 berbanding 135 manakala 284 kaunter lain tidak berubah; 1,657 tidak diniagakan dan 49 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 296.45 juta unit bernilai RM156.16 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI terus mencatat dagangan lebih tinggi, menambah 8.0 mata kepada 1,504.1 pada akhir dagangan Rabu berikutan aktiviti belian secara meluas.
“Bagi kami, sekiranya indeks itu boleh kekal di paras melebihi 1,500 untuk lebih lama, ini akan disusuli dengan aliran peningkatan dalam masa terdekat ini.
“Malah, dengan peningkatan prestasi ekuiti global, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam aliran meningkat sekitar paras 1,500 hingga 1,510 pada hari ini,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat luaran, Thong berkata Wall Street mengakhiri dagangan dengan lebih kukuh pada Khamis selepas data menunjukkan negara itu mencatat pertumbuhan ekonomi yang berterusan manakala indeks utama di Asia kebanyakannya juga berakhir lebih tinggi, termasuk keuntungan di China dan Hong Kong.
Sentimen positif itu disokong oleh komitmen kerajaan China untuk menyediakan pakej rangsangan dalam bentuk sokongan ekonomi tambahan yang dijangka meningkatkan lagi mudah tunai dalam sistem perbankan.
Bank Rakyat China dilaporkan akan bertindak mengurangkan nisbah keperluan rizab sebanyak 50 mata asas, sekali gus mengeluarkan kira-kira US$140 bilion tunai untuk menyokong ekonomi.
Berikutan itu, Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 313 mata atau dua peratus untuk ditutup pada paras melebihi 16,000.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung dua sen kepada RM9.19, CIMB dan Petronas Chemicals naik satu sen masing-masing kepada RM6.13 dan RM6.76.
Public Bank bagaimanapun susut tiga sen kepada RM4.34; Tenaga dan IHH Healthcare susut dua sen masing-masing kepada RM10.50 dan RM6.05; CelcomDigi turun empat sen kepada RM4.21 manakala Hong Leong Bank rugi enam sen kepada RM19.12.
Bagi saham aktif, KJTS Group melonjak 20.5 sen kepada 47.5 sen; MRCB naik 3.5 sen kepada 61.5 sen; Berjaya Land menambah 7.5 sen kepada 45 sen; YNH Property menokok 1.5 sen kepada 67 sen manakala Widad Group rugi setengah sen kepada 17.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 11.39 mata pada 11,219.6; Indeks FBM 70 melonjak 37.97 mata kepada 15,242.39; Indeks FBMT 100 menambah 10.45 mata kepada 10,869.78; Indeks FBM Emas Shariah menokok 13.72 mata kepada 11,307.01 namun Indeks FBM ACE turun 15.21 mata kepada 4,846.21.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Hartanah naik 6.24 mata kepada 916.11; Indeks Perladangan menambah 2.55 mata kepada 7,194.31 manakala Indeks Tenaga menokok 6.03 mata kepada 875.69.
Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 14.28 mata kepada 16,752.31 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.03 mata kepada 174.8.- Livevartha