Sunday , 17 November 2024
Home Perniagaan Bursa Malaysia ditutup tinggi
Perniagaan

Bursa Malaysia ditutup tinggi

Bursa Malaysia ditutup tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 23 April– Bursa Malaysia meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi untuk hari kelima berturut-turut pada Selasa berikutan belian daripada institusi tempatan dan asing, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.05 mata kepada 1,561.64 daripada 1,559.59 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka tinggi 0.22 mata kepada 1,559.81, bergerak antara 1,559.81 dan 1,567.57 sepanjang sesi dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 642 berbanding 402 manakala 507 kaunter tidak berubah, 823 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.73 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 3.49 bilion unit bernilai RM2.53 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama turut ditutup tinggi berikutan petunjuk positif daripada ekuiti global mengenai harapan kepada pendapatan kukuh daripada syarikat gergasi teknologi pada minggu ini.

Beliau berkata pendapatan kukuh dijangka membantu mengimbangi kebimbangan mengenai pelan kadar faedah Rizab Persekutuan menjelang data pertumbuhan dan inflasi AS utama dikeluarkan manakala pada masa yang sama pelabur positif selepas ketegangan di Timur Tengah mereda.

“Di peringkat domestik, FBM KLCI akan menguji paras halangan 1,570 dan kami menjangka jika paras ini dilepasi dan dapat bertahan untuk tempoh yang lebih lama, kami percaya indeks petunjuk pasaran akan berada dalam kedudukan terus meningkat.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,550-1,570 pada sepanjang minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Harta dan Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup tinggi hari ini selepas mencapai paras tertinggi pada 1,567.42 pada sesi dagangan pagi, menjadikan paras tertinggi pada tahun ini.

“Penutupan FBM KLCI hari ini mencerminkan trend positif, didorong oleh petunjuk yang menggalakkan berkaitan ketegangan di Timur Tengah yang mereda.

“Indeks petunjuk pasaran menyaksikan kenaikan 2.05 mata atau 0.13 peratus, mencecah 1,561.64 mata pada penutup dagangan,” katanya.

Mohd Sedek berkata dengan ringgit yang stabil dan aliran berita positif yang berterusan, prospek ekuiti Malaysia kekal cerah.

“Kemajuan dalam inisiatif pembaharuan domestik akan menarik dan membangunkan sumber baharu pelaburan langsung asing (FDI).

“Sidang Kemuncak KL20, yang berlangsung semalam dan hari ini, menekankan komitmen kerajaan untuk memangkin ekosistem teknologi,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing naik 8.0 sen kepada RM9.82 dan RM11.72, Public Bank meningkat 1.0 sen kepada RM4.21, CIMB menambah 5.0 sen kepada RM6.67 dan Petronas Chemicals naik 2.0 sen kepada RM6.83.

Bagi saham aktif, Topmix yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 11.0 sen kepada 42.0 sen, Ingenieur Gudang merosot setengah sen kepada 13.5 sen manakala Bina Puri, Sapura Energy dan Fitters Diversified, masing-masing tidak berubah pada 7.5 sen, 4.5 sen dan 5.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 31.42 mata kepada 11,715.04, Indeks FBM 70 naik 94.11 mata kepada 16,249.04, Indeks FBMT 100 menambah 28.02 mata kepada 11,358.26, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 22.94 mata kepada 11,858.35 dan Indeks FBM ACE naik 28.81 mata kepada 4,958.15.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.48 mata kepada 185.56, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 86.06 mata kepada 17,355.35, Indeks Tenaga merosot 2.96 mata kepada 969.16 dan Indeks Perladangan berkurangan 32.24 mata kepada 7,383.95.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 2.00 bilion unit bernilai RM2.42 bilion daripada 1.95 bilion unit bernilai RM2.22 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 935.10 juta unit bernilai RM114.23 juta daripada 979.82 juta unit bernilai RM119.15 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 783.91 juta saham bernilai RM251.55 juta daripada 558.35 juta saham bernilai RM187.78 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 306.76 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (460.20 juta), pembinaan (187.90 juta), teknologi (230.73 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (95.68 juta), hartanah (252.03 juta), perladangan (32.92 juta), REIT (16.20 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (223.14 juta), penjagaan kesihatan (84.56 juta), telekomunikasi dan media (30.25 juta), pengangkutan dan logistik (31.38 juta), utiliti (48.97 juta) dan unit amanah perniagaan (1.15 juta).- Livevartha

Related Articles

Perniagaan

Kerajaan fokus optimum perbelanjaan, tingkatkan hasil

Rafizi RamliKUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengoptimumkan perbelanjaan,...

Perniagaan

Pelabur asing teruskan penjualan ekuiti domestik untuk minggu ketiga

FOTO RTMKUALA LUMPUR, 14 Oktober– Pelabur asing meneruskan penjualan ekuiti domestik untuk...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Perlu adil, inklusif untuk semua golongan

Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan pada temu bual program Selamat Pagi Malaysia...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Dana perkasa Industri Seni dan Kreatif

FOTO RTM / LivevarthaKUALA LUMPUR, 13 Oktober– Menjelang Belanjawan 2025, penggiat seni...