KUALA LUMPUR, 13 Oktober– Syarikat pemula khususnya bukan teknologi memerlukan insentif cukai untuk menarik lebih banyak pelaburan yang strategik khususnya bagi sektor berimpak tinggi.
Ini kerana menurut Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng, insentif cukai sedemikian penting bagi syarikat pemula ketika masih berdepan kesukaran mendapatkan akses lebih baik kepada cairan modal susulan kecairan pasaran saham tempatan yang terhad.
\”Salah satu cabaran bagi syarikat pemula adalah modal terutamanya syarikat pemula bukan teknologi pada peringkat awal. Walaupun terdapat syarikat modal teroka termasuk dana milik kerajaan, persaingan untuk mendapatkan modal tersebut cukup sengit.
\”Oleh itu, kami berharap kerajaan dapat mempertimbang untuk membenarkan insentif cukai untuk pelabur malaikat ataupun pelabur enjin bagi syarikat pemula bukan teknologi ini termasuk industri berimpak tinggi seperti pelancongan, industri kreatif, pertanian pintar dan biomass,\” ujarnya ketika dihubungi RTM.
Beliau turut mencadangkan agar inisiatif pelaburan untuk menyokong syarikat yang baharu disenaraikan dengan pelaburan sederhana, namun mampu memberi impak besar.
Langkah ini dapat membantu menyokong penilaian syarikat pemula dan menyediakan kecairan pasaran yang penting untuk menarik pelabur awal serta pelabur teroka.