Friday , 15 November 2024
Home Perniagaan Belanjawan 2024: MADA cadang caruman KWSP kepada petani
Perniagaan

Belanjawan 2024: MADA cadang caruman KWSP kepada petani

ALOR SETAR, 8 Oktober Dua cadangan dikemukakan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) agar dapat dipertimbangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan 13 Oktober ini.

Cadangan tersebut ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada para petani serta menyediakan peruntukan khas bagi menoktahkan kemiskinan di kalangan para petani.

Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata caruman simpanan bersama antara petani dan kerajaan seperti skim KWSP penting sebagai jaminan untuk simpanan hari tua golongan itu.

“Jaminan di masa hadapan, sebagaimana pegawai kerajaan ada pencen, pegawai swasta ada seumpama KWSP. Jadi kita harap juga peladang kita juga diberi suatu mekanisme untuk jaminan di hari tua mereka.

\”Kita cadang supaya skim KWSP ini dipanjangkan juga kepada mereka-mereka ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Tambah Dr. Ismail, mekanisme dan jumlah caruman boleh ditentukan berdasarkan jumlah pengeluaran hasil padi.

(Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh / FOTO FAIL)

“Mungkin dalam bentuk pengeluaran per tan. Jadi satu tan berapa sumbangan dia (peladang) dan sumbangan kerajaan pulak berapa. Jadi maknanya setiap pengeluaran yang dibuat oleh peladang-peladang tadi dia ada satu jumlah simpanan.

\”Jadi kalau simpanan ini ada setiap masa sudah tentu pada beberapa tahun selepas itu satu jumlah simpanan yang sekurang-kurangnya apabila sampai umur 60 tahun, 50 tahun dia telah ada satu simpanan untuk jaminan di hari tua mereka,\” katanya.

Beberapa cadangan lain turut dikemukakan MADA antaranya meningkatkan peruntukkan belanja mengurus untuk penyenggaraan saluran air bagi memastikan pengairan yang sempurna ke kawasan sawah dan mengatasi isu berkaitan banjir.

Selain itu, kata Dr. Ismail MADA berharap agar kerajaan juga meluluskan peruntukkan tambahan untuk subsidi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), subsidi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan subsidi Harga Padi (SHP) untuk penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

\”Pada masa sama, MADA turut berharap Bantuan Tunai Pesawah sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat diteruskan bagi memastikan kesejahteraan hidup pesawah terjamin dan terbela.

Kawasan Muda merupakan pengeluar padi terbesar negara dengan keluasan pasel padi mencapai 100,641 hektar.

Daripada jumlah itu, 83, 999 hektar berada di Kedah dan 16,642 hektar di Perlis.

Rekod purata lima tahun terkini iaitu sejak 2017 hingga 2021 menunjukkan pengeluaran padi Kawasan Muda telah menyumbang di antara 39 hingga 43 peratus padi setahun kepada negara.

Justeru, usaha yang lebih kompetitif dan progresif perlu dilakukan bagi memastikan sektor bekalan makanan negara dapat dipertingkatkan dan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada import.

Related Articles

Perniagaan

Kerajaan fokus optimum perbelanjaan, tingkatkan hasil

Rafizi RamliKUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengoptimumkan perbelanjaan,...

Perniagaan

Pelabur asing teruskan penjualan ekuiti domestik untuk minggu ketiga

FOTO RTMKUALA LUMPUR, 14 Oktober– Pelabur asing meneruskan penjualan ekuiti domestik untuk...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Perlu adil, inklusif untuk semua golongan

Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan pada temu bual program Selamat Pagi Malaysia...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Dana perkasa Industri Seni dan Kreatif

FOTO RTM / LivevarthaKUALA LUMPUR, 13 Oktober– Menjelang Belanjawan 2025, penggiat seni...