Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Livevartha) — Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh dalam situasi tidak menentu baharu disebabkan unjuran ekonomi global yang mencabar pada separuh kedua 2025.
Pada 8.03 pagi, mata wang tempatan dicatatkan pada 4.2375/2560 berbanding dolar AS daripada4.2270/2360 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka berada antara RM4.23 dan RM4.24 hari ini berikutan data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS pada Mei yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Katanya NFP AS meningkat139,000 pada Mei, lebih tinggi daripada anggaran konsensus sebanyak 126,000 manakala kadar pengangguran kekal pada 4.2 peratus untuk tiga bulan berturut-turut, mendorong Indeks Dolar AS (DXY) naik kepada 99.190 mata pada Jumaat lepas.
“Data NFP terkini menunjukkan pasaran tenaga kerja di AS masih berdaya tahan walaupun perlu berdepan dengan tarif yang tinggi,” katanya kepada Livevartha.
Bagaimanapun, katanya NFP pada April telah disemak semula kepada paras lebih rendah,iaitu daripada 177,000 kepada 147,000 dan kadar penyertaan tenaga kerja AS merosot kepada 62.4 peratus pada Mei daripada 62.6 peratus pada April.
“Oleh itu, walaupun pasaran tenaga kerja masih baik, petunjuk kadar pertumbuhan yang perlahan dalam kumpulan data semakin ketara.
“Berdasarkan sentimen perniagaan dan pengguna yang kekal lemah, unjuran ekonomi pada separuh kedua 2025 dilihat semakin mencabar. Pada pandangan kami, kemungkinan untuk Kadar Dana Persekutuan AS diturunkan meningkat,” katanya.