Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Livevartha) –Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan dolar AS yang lebih rendah berikutan data ekonomi negara itu yang tidak memberangsangkan mendorong pelabur kembali cenderung mengambil risiko.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2245/2295 berbanding dolar AS daripada 4.2435/2490 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga dan pelabur mempertimbangkan prospek kelembapan ekonomi dan risiko inflasi lebih tinggi yang berpunca daripada kejutan tarif baru-baru ini.
“Ini menyebabkan kalangan anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS mengalami dilemma dasar, justeru, skop pengurangan kadar faedah adalah terhad,” katanya kepada Livevartha hari ini.
Beliau berkata data utama akan datang ialah laporan pembayaran gaji bukan ladang (NFP) yang dijadualkan dikeluarkan pada Jumaat.
Konsensus menjangkakan NFP pada Mei mencecah 130,000, turun daripada 277,000 pada April, manakala kadar pengangguran diunjurkan kekal pada 4.2 peratus.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9495/9531 daripada 2.9444/9486 ketika ditutup pada Rabu, namun meningkat berbanding euro kepada 4.8235/8292 daripada 4.8300/8362.