PETALING JAYA: Nilai ringgit dijangka terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, susulan pengukuhan mata wang negara itu yang dipacu oleh perubahan pendekatan dasar ekonomi pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ringgit yang berada pada paras RM4.29 minggu lalu dijangka melepasi paras RM4.35 dalam tempoh terdekat.
“Ringgit kini menunjukkan kelemahan secara semula jadi susulan dolar AS yang mengukuh hujung minggu lalu.
“Pengukuhan ini berlaku selepas pelabur melihat Trump mula merombak pendekatan tarif kepada yang lebih rasional dan tidak membebankan rakyatnya sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, walaupun ringgit sempat menyentuh paras RM4.29 pada Jumaat lalu, tekanan terhadap mata wang tempatan dijangka berterusan sepanjang minggu ini.
“Kemungkinan besar ringgit akan melemah ke paras RM4.35, malah tidak mustahil ia boleh mencecah RM4.40, bergantung kepada prestasi dolar AS.
“Selain itu, perundingan perdagangan antara AS dan China merupakan antara penyumbang yang memberi kesan kepada pergerakan ringgit.
“Namun kekuatan dolar AS lebih dipengaruhi oleh kebimbangan pelabur terhadap inflasi dan unjuran kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed),” katanya.
Awal minggu lalu, ringgit mengukuh apabila didagangkan sehingga mencecah RM4.19 sedolar AS sebelum menutup dagangan seminggu dengan nilai RM4.29 berbanding dolar AS.
Mengulas mengenai prestasi pasaran saham tempatan, Barjoyai berkata, aktiviti pengambilan untung dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berlaku minggu ini, yang berkemungkinan menyebabkan sedikit penurunan ke paras sekitar 1,530 mata atau 1,520 mata.
“Walaupun indeks menunjukkan prestasi positif apabila ditutup pada 1,546.50 mata pada Jumaat lalu berbanding 1,490 mata dua minggu sebelumnya yang mencatatkan kenaikan sekitar 5.7 peratus, namun kemungkinan berlaku penurunan minggu ini masih ada.
“Bagaimanapun, jika sentimen positif berterusan, kita menjangkakan FBM KLCI berpeluang untuk menembusi paras baharu melebihi 1,550 mata sebelum hujung minggu,” katanya. – UTUSAN