KUALA LUMPUR, 8 Mei (Livevartha) — Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis namun mengalami penurunan selepas itu ekoran pengambilan untung sederhana berikutan kebimbangan baharu terhadap prospek ekonomi global, kata penganalisis.
Pada 9.22 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.08 mata kepada 1,547.82, turun daripada 1,549.90 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.21 mata lebih tinggi kepada 1,550.21.
Jumlah dagangan 389.23 juta saham bernilai RM156.08 juta.
Lingkungan pasaran sedikit negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 212 berbanding 198, manakala 329 kaunter tidak berubah, 1,612 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, kalangan pelabur akan memantau Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) China di samping menumpukan kepada perkembangan terkini berkenaan dasar perdagangan untuk menyusun pegangan mereka secara strategik.
“Kami menjangkakan tema kecerdasan buatan (AI) mendapat semula momentum berikutan rancangan pentadbiran (Presiden Amerika Syarikat) (Donald) Trump untuk menyemak sekatan perdagangan cip yang dipanggil peraturan ‘AI diffusiom’ dari era (Joe) Biden yang mengehadkan cara teknologi AS dieksport ke luar negara.
“Memandangkan langkah positif Nvidia, dalam keadaan kemungkinan semakan ke atas sekatan perdagangan cip, minat belian dijangka kembali ke dalam pasaran tempatan, terutama dalam sektor teknologi,” jelasnya dalam nota penyelidikan.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 2.0 sen kepada RM9.98, CIMB susut 3.0 sen kepada RM6.92, IHH Healthcare meroost 6.0 sen kepada RM6.94, manakala Public Bank naik 3.0 sen kepada RM4.50 dan Tenaga Nasional kekal tidak berubah pada RM14.16.