Home Ekonomi OPR pernah diturunkan ketika ekonomi stabil
Ekonomi

OPR pernah diturunkan ketika ekonomi stabil

OPR pernah diturunkan ketika ekonomi stabil

PETALING JAYA: Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pernah berlaku dalam situasi ketidaktentuan global, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sederhana dan inflasi yang terkawal, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB). 

Firma penyelidikan itu berkata, selain semasa krisis ekonomi besar seperti Krisis Kewangan Global (2008-2009) dan pandemik Covid-19 (2020), OPR juga diturunkan pada sebanyak 25 mata asas pada Julai 2016 dan Mei 2019 ketika ekonomi tidak meleset. 

“Pada Julai 2016, pemotongan OPR berlaku tidak lama selepas referendeum Brexit, apabila majoriti mengundi supaya United Kingdom (UK) meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) juga membuat keputusan untuk melonggarkan dasar di tengah-tengah memuncaknya ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China pada Mei 2019,” katanya dalam nota kajian.

Katanya, keadaaan yang sama pada kedua-dua waktu itu adalah penurunan dari segi pertumbuhan kredit. 

“Sama dengan keadaan kali ini, pertumbuhan pinjaman sistem perbankan mula perlahan pada suku keempat 2024 dan berterusan ke suku pertama 2025, walaupun kadar penurunan masih sederhana buat masa ini. 

“Satu perkembangan positif terletak pada pasaran buruh tempatan, yang memasuki tempoh ketidaktentuan ini daripada kedudukan yang kukuh, dengan kadar pengangguran yang secara relatif rendah sebanyak 3.1 peratus pada Februari 2025, berbeza dengan pasaran buruh yang sedikit lebih lemah sebelum pemotongan kadar faedah pada Julai 2016 dan Mei 2019,” katanya.

BNM akan memutuskan OPR dalam mesyuarat MPC kali ketiga 2025 pada Khamis ini.

Dalam dua mesyuarat terdahulu, bank pusat mengekalkan kadar penanda aras pinjaman domestik itu pada 3.00 peratus.

Pada mesyuarat Mac lalu, MPC melihat pendirian dasar monetari semasa sebagai menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian inflasi serta pertumbuhan ekonomi pada masa itu.

Sejak mesyuarat itu, tarif yang dikenakan oleh AS terhadap negara-negara di seluruh dunia telah menyebabkan tinjauan pertumbuhan ekonomi global terkesan. – UTUSAN

Related Articles

OPR diunjur turun kepada 2.75 peratus minggu ini
Ekonomi

OPR diunjur turun kepada 2.75 peratus minggu ini

KALI terakhir OPR berubah adalah apabila dinaikan daripada 2.75 peratus kepada 3.0...

Sektor perbankan kekal ‘overweight’ walaupun pertumbuhan lebih perlahan
Ekonomi

Sektor perbankan kekal ‘overweight’ walaupun pertumbuhan lebih perlahan

PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank Research mengulangi pendirian ‘overweight’ terhadap sektor...

JCorp catat untung sebelum cukai RM718j pada 2024
Ekonomi

JCorp catat untung sebelum cukai RM718j pada 2024

SYED MOHAMED SYED IBRAHIMPETALING JAYA: Kumpulan Johor Corporation (JCorp) pertumbuhan keuntungan sebelum...

Setia capai jualan 70% untuk Nadi (Fasa 3A)
Ekonomi

Setia capai jualan 70% untuk Nadi (Fasa 3A)

LAKARAN artis pembangunan komersial terbaharu, Nadi (Fasa 3A).PETALING JAYA: S P Setia...