NIBONG TEBAL, 4 Mei- Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dan terbakar dalam kemalangan di Jalan Sungai Kechil, di sini, sekitar pukul 12.00 tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata seorang mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.16 tengah malam sebelum enam anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal digerakkan ke lokasi.
Setibanya di lokasi, kedua-dua motosikal didapati terbakar dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus.
Kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an mengalami kecederaan parah termasuk melecur pada bahagian kaki, manakala seorang lagi individu turut mengalami kecederaan dan melecur sehingga 50 peratus.
Sagun Francis berkata mangsa yang melecur 50 peratus diberi rawatan awal dan dihantar ke Hospital Sungai Bakap oleh jentera EMRS untuk rawatan selanjutnya namun disahkan meninggal dunia.
Sementara seorang lagi mangsa yang cedera parah tersepit pada bahagian kaki dan melecur telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.32 tengah malam.
Sebelum itu, tular di media sosial satu rakaman berdurasi 17 saat yang memaparkan insiden kemalangan terbabit.