Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 26 April (Livevartha) — Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil antara RM4.37 hingga RM4.38 minggu depan berikutan pasaran memfokuskan kepada pelbagai pengumuman data utama Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata Indeks Keyakinan Pengguna oleh Conference Board di AS yang akan dikeluarkan bagi April dijangka memaparkan penurunan kepada 88.5 mata, susut daripada 92.9 pada Mac seperti yang diunjurkan oleh penganalisis.
Ini disusuli dengan Indeks Pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) yang diunjur menyusut kepada 47.9 mata pada April.
Selain itu, laporan senarai gaji bukan ladang dan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi AS akan turut dipantau rapi, katanya.
"Minggu ini banyak data penting dikeluarkan, dan pasaran akan mencari petunjuk sama ada Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin mengurangkan Kadar Dana Persekutuan dalam masa terdekat.
“Kami kekal positif mengenai ringgit memandangkan prospek penurunan kadar faedah AS semakin mendapat momentum,” katanya kepada Livevartha.
Ringgit mengakhiri minggu ini pada 4.3705/3770 berbanding dolar AS, meningkat daripada 4.4100/4175 pada minggu sebelumnya.
Ringgit turut mengukuh berbanding euro kepada 4.9596/9670 daripada 5.0133/0218 minggu lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 3.0431/0481 daripada 3.0971/1028 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8128/8214 daripada 5.8516/8616.