KUCHING, 25 April – Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo, yang dijadualkan memulakan operasi tahun hadapan, membawa aspirasi untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dalam kalangan negara anggota ASEAN, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata langkah mengendalikan syarikat penerbangan sendiri adalah satu daripada usaha memperkukuh kerjasama khususnya dalam mempertingkatkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan dengan memanfaatkan lokasi strategik, sumber yang melimpah serta ikatan budaya bagi memacu pertumbuhan serantau dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Selaras dengan aspirasi kami untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau, Sarawak dengan bangganya mengumumkan pelancaran syarikat penerbangan kami AirBorneo, yang dijadualkan memulakan operasi pada 2026,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Gala Negeri sempena Mesyuarat ke-33 Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) di sini malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Abang Johari berkata komitmen Sarawak untuk meningkatkan kesalinghubungan udara dengan memudahkan dan mempercepat urusan perjalanan serta perniagaan dengan bandara-bandar utama dan ibu negara di seluruh ASEAN.
Beliau berkata pembangunan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu serta pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang, Kota Samarahan akan mengubah Sarawak menjadi hab penerbangan serta perkapalan serantau.
Menurut beliau, ia juga akan memperluas akses udara dan laut serta menambahkan daya tarikan Sarawak kepada komuniti perniagaan, para pelabur dan pelancong.
Abang Johari berkata Sarawak boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) iaitu satu inisiatif subserantau bagi menyokong agenda integrasi ekonomi ASEAN yang lebih luas.
“Sempadan dadat yang kita kongsi bersama Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia membuka peluang kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan melalui inisiatif strategik.
“Pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan akan menjana limpahan ekonomi untuk Pulau Borneo, sekali gus mewujudkan peluang baharu dalam pelaburan, perdangan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.
Majlis makan malam itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya (ASCC) yang sedang berlangsung ini merupakan perhimpunan dwitahunan peringkat menteri yang memfokuskan kepada isu-isu sosiobudaya utama di seluruh rantau ASEAN.
Mesyuarat berkenaan yang berlangsung dari 22 hingga 26 April, menerima kehadiran wakil dari kesemua 11 negara anggota ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste. – BERNAMA