PETALING JAYA: Kadar inflasi tahunan Malaysia dijangka kekal pada paras 2.4 peratus bagi tahun 2025, namun penganalisis dari PublicInvest Research memberi amaran bahawa tekanan kenaikan harga mungkin meningkat pada separuh kedua tahun ini.
Dalam satu nota penyelidikan, firma itu berkata tekanan kos dalam negeri sedang dipantau rapat, terutama yang berpunca daripada perubahan dasar seperti pemotongan subsidi bahan api, pelarasan tarif utiliti serta levi berkaitan buruh.
“Namun begitu, kesannya terhadap harga pengguna dilihat berlaku secara perlahan,” katanya dalam nota penyelidikan.
PublicInvest turut mencatat sedikit peningkatan dalam inflasi teras, namun menegaskan bahawa trend harga keseluruhan masih lagi terkawal.
“Di peringkat global, pelaksanaan Akta Tarif Perdagangan Timbal Balik oleh Amerika Syarikat (AS) meskipun ditangguhkan selama 90 hari telah meningkatkan semula ketidaktentuan dasar perdagangan antarabangsa,” katanya.
Firma penyelidikan itu menambah bahawa ketidakstabilan kadar pertukaran asing dan turun naik harga komoditi global turut berpotensi menambah tekanan kos pada separuh kedua tahun ini, terutamanya dalam sektor yang bergantung kepada import.
Menurut PublicInvest, peningkatan inflasi dijangka didorong oleh pelbagai langkah dasar yang akan dilaksanakan, termasuk penghapusan subsidi RON95, kenaikan gaji minimum dan peluasan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Katanya, tekanan tambahan juga mungkin timbul daripada pemotongan subsidi barangan keperluan, kenaikan tarif elektrik yang berpotensi, serta peningkatan kos buruh akibat caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan levi pekerja asing.
“Sentimen industri menunjukkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap masa pelaksanaan langkah-langkah konsolidasi fiskal, dengan banyak perniagaan menggesa agar dasar yang meningkatkan kos operasi ditangguhkan, terutama selepas pengumuman tarif timbal balik oleh AS,” katanya.
PublicInvest mengekalkan unjuran kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus dan menjangkakan dasar monetari pada separuh kedua tahun ini akan bergantung kepada penyesuaian subsidi dalam negeri dan perkembangan lanjut dalam perdagangan global.
“Dengan aktiviti domestik yang sejajar dengan unjuran asas Bank Negara Malaysia dan risiko penurunan terhadap pertumbuhan masih wujud, kami menjangka Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengambil pendekatan berhati-hati dan mengekalkan kadar dasar semasa buat masa ini,” tambahnya. – UTUSAN