PUTRAJAYA, 22 April- Platform media merupakan instrumen penting dan platform strategik untuk menguar-uarkan perkara berkaitan wakaf, membina naratif positif serta menyemai kefahaman masyarakat terhadap potensi wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata instrumen berkenaan bertindak dalam menyampaikan konteks pembangunan wakaf selain memberi maklumat terkini supaya lebih diyakini khususnya dalam kalangan masyarakat.
Ia juga dilihat mampu menjayakan agenda pembangunan Islam khususnya memperluas kefahaman dan sokongan masyarakat terhadap institusi wakaf di Malaysia.
\”Apa yang Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) usahakan telah memberi kebaikan kepada berpuluh ribu individu. Ini merupakan instrumen wakaf yang diperkenalkan,\” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Media di sini.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024, Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Tahun 2024 dan Anugerah Khas: The Most Outstanding Achievement Award kepada para pegawai YWM.
Selain itu beliau juga menyampaikan sumbangan cek cura, bernilai RM2,500 kepada Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor serta kepada Kelab Media Putrajaya.