KUCHING, 21 April- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang untuk menyelitkan elemen patriotisme dalam program-program anjurannya, termasuk yang melibatkan aspek keibubapaan dan pembangunan kanak-kanak.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, meskipun patriotisme bukan merupakan tanggungjawab teras kementeriannya, namun penyampaian mesej cintakan negara boleh disampaikan melalui program sedia ada, terutamanya kepada golongan ibu bapa.
“Yang penting ialah mesej itu sampai. Kita nak rakyat terutama ibu bapa sedar bahawa menjadi warganegara Malaysia datang dengan tanggungjawab. Contoh mudah, bila anak ke sekolah, jangan lupa pakaikan mereka dengan bendera. Itu antara nilai yang boleh dipupuk dari rumah,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, pelaksanaan unsur patriotisme ini bukan sekadar simbolik tetapi sebagai usaha membentuk jati diri rakyat bermula dari institusi keluarga.
Datuk Seri Nancy berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid di SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Kuching.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Haji Mahi serta Pengetua SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Fatimah Wan Adini.