Home Nasional Pekerja perlu fizikal, mental kuat bantu bangunkan negara
Nasional

Pekerja perlu fizikal, mental kuat bantu bangunkan negara

Pekerja perlu fizikal, mental kuat bantu bangunkan negara

Menteri Sumber Manusia Steven Sim (lima, kanan) bergambar kenangan bersama peserta pada majlis PERKESO Run & Ride 2025 sempena Hari Pekerja 2025 di Dataran Wawasan, Persiaran Perdana, Presint 2

PUTRAJAYA, 20 April – Golongan pekerja harus mempunyai kudrat fizikal dan mental yang kuat untuk membantu membangunkan bangsa dan negara, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata tanpa sumbangan pekerja daripada pelbagai sektor, termasuk keselamatan, pertahanan, perkhidmatan awam dan swasta, negara ini tidak akan mampu bergerak serta mencapai kemajuan.

\”Apa yang menghalang anda semua untuk terus menyumbang jasa dan kudrat kepada bangsa, agama dan tanah air, apa yang menghalang Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang hebat, khususnya di zaman dunia sedang bergelora bukan orang lain … bukan negara-negara luar, tetapi kecekalan rakyat Malaysia,\” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas program ‘Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Run and Ride 2025’ di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sim berkata peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) membabitkan pencarum PERKESO semakin membimbangkan, dengan purata 80 individu sehari dikenal pasti menghidap pelbagai masalah kesihatan tahun lalu.

Memetik laporan PERKESO yang mendedahkan hampir 2.3 juta dewasa di Malaysia menghidap tiga jenis NCD iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti.

\”Berdasarkan angka-angka ini, kita perlu sedar mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat kerana NCD memang berkait rapat dengan cara kita menjalani kehidupan.

\”Peningkatan kesedaran terhadap perkara ini penting kerana pekerja merupakan aset penting yang menggerakkan ekonomi dan pembangunan negara,\” katanya.

Sim berkata berdasarkan perangkaan, jumlah pencarum yang mengalami keilatan angkara NCD meningkat 26.5 peratus dalam tempoh hanya dua tahun sejak 2022 sekali gus dikhuatiri berupaya merencatkan kelangsungan produktiviti tenaga kerja.

Beliau berkata lebih merisaukan apabila penilaian menerusi laporan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2021 mendedahkan negara ini berdepan kerugian mencecah RM64.2 bilion setahun atau bersamaan 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disebabkan NCD.

\”Kerugian yang dinilai menerusi peruntukan kos rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan, selain kehilangan produktiviti pekerja sebenarnya berupaya ditangani menerusi pemakanan serta amalan gaya hidup sihat,\” katanya.

Oleh itu, Sim berkata Perkeso melaksanakan Program Saringan Kesihatan (HSP) sejak 2013 yang setakat ini sudah membabitkan lebih 900,000 individu kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

\”Data HSP 3.0 pada 2023 dan 2024, saringan terhadap 270,000 pekerja berusia 40 tahun ke atas mendapati 19.4 peratus daripadanya menghidap penyakit kencing manis.

\”Selain itu, 19.6 peratus menghidap penyakit darah tinggi manakala 59.7 peratus lagi dikesan mempunyai kolesterol berlebihan dalam darah dan 160,100 orang atau 59.3 peratus mengalami masalah obesiti,\” katanya.

‘PERKESO Run and Ride’ tahun ini memasuki edisi penganjuran kali kelapan dan melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 10,000 peserta menyertai acara larian sejauh tiga, enam dan 10 kilometer (km) serta kayuhan santai sejauh 35km.

Program itu diadakan bersempena Hari Pekerja 2025 dan pembuka tirai kepada Karnival Kerjaya MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 yang akan diadakan pada 28 April hingga 1 Mei ini di Pekarangan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – BERNAMA

Related Articles

Mangga Harum Manis Kedah catat lonjakan pengeluaran tahun ini
Nasional

Mangga Harum Manis Kedah catat lonjakan pengeluaran tahun ini

Pengeluaran mangga Harum Manis di Kedah pada tahun ini dijangka meningkat hampir...

Tengku Ampuan Pahang berkenan sertai larian Hari Sarapan MILO
Nasional

Tengku Ampuan Pahang berkenan sertai larian Hari Sarapan MILO

FOTO RTMKUANTAN, 20 April- Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah...

Perkukuh hubungan dua hala, TPM Zahid mulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia
Nasional

Perkukuh hubungan dua hala, TPM Zahid mulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / Foto Hiasan...

25 penduduk terjejas banjir masih berlindung di PPS Kampung Batu Badak
Nasional

25 penduduk terjejas banjir masih berlindung di PPS Kampung Batu Badak

Foto Angkatan Pertahanan Awam (APM)SEGAMAT, 20 April – Situasi banjir banjir di...