Home Ekonomi Lawatan PM ke Thailand: Malaysia raih potensi eksport RM1.07 bilion
Ekonomi

Lawatan PM ke Thailand: Malaysia raih potensi eksport RM1.07 bilion

Malaysia berjaya meraih potensi eksport berjumlah RM1.07 bilion hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand baru-baru ini / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 19 April – Malaysia berjaya meraih potensi eksport berjumlah RM1.07 bilion hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand baru-baru ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan, potensi eksport itu merangkumi pelbagai sektor termasuk alat ganti automotif, pembinaan, tenaga dan peranti perubatan.

Minat terhadap produk Malaysia disuarakan dalam satu sesi mesyuarat meja bulat anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), yang turut disertai pegawai tertinggi daripada lapan syarikat terkemuka Thailand.

MITI menjelaskan, sambutan positif itu mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai rakan dagang serta sebahagian daripada rantaian bekalan serantau yang boleh dipercayai.

“Minat mendalam yang ditunjukkan Thailand sejajar dengan hala tuju dasar terkini negara menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” menurut kenyataan itu.

Thailand merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam ASEAN dan ketujuh di peringkat global.

Pada tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencecah AS$25.06 bilion, dengan perdagangan rentas sempadan menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah tersebut.

Momentum itu turut berterusan pada awal tahun ini, apabila perdagangan dua hala mencatat peningkatan hampir lapan peratus dalam tempoh dua bulan pertama 2025.

Related Articles

Ekonomi

Kempen Umrah 1,000 Asnaf: Sembilan individu pertama terima tajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin / Foto BernamaPETALING JAYA, 19 April...

Ekonomi

AirAsia buka laluan ke Uzbekistan mulai September

Foto Hiasan / BernamaKUALA LUMPUR, 19 April – Uzbekistan komited untuk memperkukuh...

Ekonomi

Ringgit diunjur mendatar berbanding dolar AS minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 19 April- Ringgit dijangka diniagakan mendatar dalam julat 4.41...

Ekonomi

FBM KLCI dijangka uji paras 1,500 minggu depan disokong sentimen lebih baik

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 19 April- Indeks pasaran utama FTSE Bursa Malaysia KLCI...