SUBANG JAYA, 19 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) meneliti semula aspek pedagogi atau kaedah dan prinsip pengajaran di institusi itu susulan penularan video yang memaparkan sekumpulan pelajar berpakaian menyerupai kostum kumpulan pelampau bangsa, Ku Klux Klan (KKK), baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata aspek pedagogi dalam pembelajaran perlu mengambil kira perkara-perkara yang berkaitan dan mempunyai sensitiviti tertentu, khususnya apabila melibatkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama, budaya dan kaum.
“Saya telah minta pihak universiti untuk melihat dari segi aspek pedagogi dalam pembelajaran, supaya mengambil kira perkara-perkara yang berkaitan. Mungkin ada sensitiviti tertentu yang perlu diberi perhatian. Mereka lebih maklum tentang perkara yang perlu dilakukan.
“Sebab itu pihak UiTM telah membuat penjelasan. Saya fikir penjelasan daripada pihak universiti adalah yang paling penting dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) Siri Kelima, di sini pada Jumaat.
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang memaparkan sekumpulan pelajar dari Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil berpakaian menyerupai ahli kumpulan pelampau perkauman Ku Klux Klan (KKK), mencetuskan kebimbangan dan kritikan orang ramai.
UiTM menerusi kenyataan pada Rabu menjelaskan pelajar terbabit berpakaian sedemikian sebagai sebahagian daripada tugasan akademik bagi kursus Contemporary Global and Legal Issues.
Menurut kenyataan itu, tugasan tersebut bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal serta meningkatkan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
Pihak pensyarah dan fakulti yang terlibat turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal serta berpandukan prinsip akademik, tanpa menyentuh mana-mana sensitiviti agama, budaya atau kaum.